Friday 27 December 2013

Musafir




Termenung. Perkara yang sudah lama tidak aku lakukan. Jika dahulu, termenung itu adalah salah satu kegemaranku. Membayangkan yang indah tentang masa depan, merangka dan cuba mencapainya. Namun, rangkaan itu kembali bersepai apabila akal membisikkan bahawa bahaya jika terlalu berkhayal.

Tarikh: 27/12/2013
Waktu: Antara 1-2 pagi

Buat kali ke berapa yang aku sudah lupa, setelah menjawab pelbagai soalan di Ask.fm, aku bersandar di kepala katil. Memikirkan tentang diri. Memikirkan tentang tahun 2014 yang bakal aku hadapi. Tahun yang agak mencabar namun tidak secabar alam selepas kematian.

Dengan telinga yang bersumbat earphone, aku melayan diri dengan mendengar lagu " Bintang Syurga" oleh Unic dan Raqib Majid. Lagu itu membawa lamunan aku lebih jauh.

Jauh... jauh membayangkan diri sedang mengejar syurga Allah, membayangkan diri sedang bermusafir demi mencari sebuah ilmu, membayangkan diri berjalan seorang diri, melangkah dan terus melangkah...

Aku tersenyum diri. Dan air mataku mengalir buat kesekian kalinya kerana lagu itu... dan kerana sebuah angan yang entah bisa atau tidak untuk ku genggam.

Bermusafir itu impian aku. Berjalan merentasi segala perbukitan itu adalah impian aku. Dan nabi juga menyuruh umatnya untuk bermusafir. Sesungguhnya, berjalan itu luas pandangannya.

Tetapi, aku sedar bahawa musafir bukan setakat mengembara. Tetapi kita semua adalah musafir. Musafir yang mengembara di atas medan masa. 

Apabila memikirkan tentang bermusafir, secara tak langsung, bayangan wajah arwah Ahmad Ammar melintasi pemikiran aku. Lelaki yang tidak dikenali tetapi diketahui kerana kehebatannya di muka bumi ini. Allah.. indah sungguh hidup ini andai diabadikan sebenar-benarnya kerana Allah. Indah sungguh maut yang menjelma apabila segala persiapan telah tersedia. Indah.. hanya perlu melangkah ke syurga sahaja.

Dan kemudian, aku tidak sedar bila masanya aku terlelap. Sedar-sedar sahaja, sudah waktu subuh. Apa yang aku khayalkan bagaikan mimpi sahaja. Dan tidur aku, aku terasa singkat sekali. Barangkali kerana tidur lewat maka penghayatan dalam tidur pun terasa singkat. 

-Kayu Rapuh




Tuesday 3 December 2013

Ilmu




" Apa nak jadi dengan kau ni?
Balik malam je, mesti jadi macam ni.
Muka lebam sana sini,
baju pun kotor berdebu. Kau sedar tak apa yang kau buat ni?
Kau tak kesian dekat mak ni?" Rintih seorang ibu.
Si anak hanya diam tanpa membalas. 
Malas mahu bertekak dengan si ibu yang asyik berleter
sahaja kerjanya.

Si jiran, Hafiz, yang mendengar pertekakan itu
hanya mampu beristighfar. Sesabar seorang ibu
pasti ada hadnya. Dia kenal anak jiran sebelah rumah mereka itu.
Setiap kali balik sahaja dari surau, kelibat anak muda itu pasti
dilihat bersama-sama dengan sekumpulan remaja.

" Dah lah mak, asyik membebel je. Aku balik je,
membebel. Balik je, membebel.
Kalau aku tak balik nanti, macam kucing hilang anak."

Hafiz memasang telinga sahaja dari rumahnya. Televisyen
yang terpasang sudah tidak menarik minatnya apabila mendengar anak beranak itu
bertikam lidah.


" Hafiz..." Panggil abang sulungnya, Dayyan.


" Ya?"


" Jiran sebelah gaduh lagi ke?" tanya abangnya sambil bersandar di dinding.


" Macam biasa, bang. Dah anak macam tu, siapa yang tak hangin."


" Amboi, ayat." Perli Dayyan.

" Hehh, bukan apa, hati dengan telinga ni sakit dengar Qayyum tu asyik 
melawan cakap ibu dia. Ibu dia cakap sedikit, dia pergi hentam balik. Haish, 
apalah silap didikan mak bapak dia."

" Wahhh, ayat. Ni memang kes sakit hati betul ni."

" Mestilah. Dulu si Qayyum tu tak macam tu."

" Iman dia, Hafiz. Iman dia tengah surut." Kata Dayyan.

" Kerana kurang didikan agama," sambung Hafiz.

" Tidak. Didikan agama dia cukup, tapi ilmu dan didikan yang ada tidak dimanfaatkan."

" Macam mana boleh jadi macam tu?"

" Dia orang yang berilmu. Dia orang yang beragama. Tapi dia lupa dengan
ilmu yang dia ada. Apabila ilmu yang ada dipandang sepi, dijadikan isi bagi minda dan bukan bagi hati dan iman, maka inilah kesannya."

Hafiz terdiam. Benar kata-kata abang dia. Qayyum hidup penuh dengan didikan agama.
Namun didikan yang ada tidak di manfaatkan. Masakan hendak disalahkan didikan ibu bapa?
Dia menginsafi dirinya sendiri. 

"Kadangkala apa yang terjadi terhadap diri remaja itu,
Bukan salah didikan ibu bapanya satu peratus,
Tetapi salah remaja itu sendiri yang membiarkan ilmu berkubur di kotak ingatan,
bukan di hati mahupun iman."

"Ingatlah, Iman itu tidak mampu diwarisi,
Jadi, kenapa harus mengungkit didikan ibu dan ayah seseorang remaja itu?"

Hafiz memandang abangnya yang kini berada di sebelahnya tanpa membalas.
Dan dia memejamkan mata dengan telinga yang masih di sapa jeritan si ibu dan anak.


"Percayalah, tiada seorang manusia bisa menembusi syurga kerana ilmu, tetapi seorang manusia itu pasti menembusi syurga jika dia MEMANFAATKAN ilmu."


Wednesday 20 November 2013

Rasa




Termenung.
Langit malam yang tiada bintang yang sudi menghiasi langit itu dipandang sayu,
sesayu hatinya.
Gambar yang berada dalam genggamannya dipandang selang seli dengan langit malam.
Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, disekanya lembut bersama keluhan berat.

Saiful memandang Qaiser yang sedang termenung di atas pasir pantai itu. Tiada siapa di situ melainkan mereka berdua.

" Sampai bila Qai kau nak duduk dekat tepi pantai, meratap dan terus meratap?" tanya Saiful yang sedang berdiri di belakang Qaiser.

Senyap. Tiada balasan yang ditunggunya.

" Kullu nafsinz dzaaiqotul maut. Setiap yang bernyawa pasti akan merasa mati, surah Al-Imran ayat 185. Nampaknya kau dah lupa ayat ini Qaiser."

Ayat yang dibacakan temannya itu menyentapkan separuh hatinya. Namun buat seketika, dia menggelengkan kepalanya perlahan.

" Kau tak rasa apa yang aku rasa, Saiful. Kau tak rasa.."

" Tak, Qai. Apa yang kau rasai sekarang, semua orang pernah rasa dan pasti akan rasa tidak terkecuali baginda Rasulullah."

Mata yang setia menatap gambar di tangan memandang teman baik yang berada di belakangnya.

" Maksud kau?"

" Kau sedih dan aku juga pernah rasa sedih. Kau rasa peritnya kematian seseorang dan aku juga pernah rasa peritnya kematian seeorang. Orang lain juga. Mereka juga pernah rasa sedih dan pasti akan merasa peritnya akan kematian seseorang."

Qaiser cuba menghadam sebaiknya kata-kata itu.

" Dan sepatutnya, dalam dunia ini tidak sepatutnya wujud ayat 'kau tak rasa apa yang aku rasa' kerana setiap rasa atau perasaan yang wujud di muka bumi ini, pasti akan dirasai oleh semua orang. Pasti, Qaiser. Yang berbezanya hanyalah situasi bagi perasaan itu. Kau sedih kerana kehilangan ibu kau tetapi kau tidak sedar ada juga yang sedih kerana kehilangan insan yang sama tetapi dia masih kuat menghadapi dunia."

" Ini dunia, Qaiser. Tiada apa yang berbeza di muka bumi ini. Kau rasa kita semua berbeza tapi hakikatnya kita sama sahaja. Mereka ada rasa gembira, sakit, pedih, benci, kecewa dan sebagainya, dan kita juga ada rasa itu semua. Cuma rasa itu tidak terletak pada situasi yang sama."

Dia terus menyepi dan terus menyepi. Menghadam kata-kata itu dengan akal yang masih waras.

" Sudahlah. Tidak usah bersedih. Yang hidup pasti akan merasa mati. Mati itu pasti akan dirasai semua. Rasa mati, sedih, kecewa, perit, benci... rasa itu semua adalah rencah hidup kita. Tanpa rasa itu, tawar hidup ini , Qai."

Bahu teman baiknya disentuh lembut sebelum berlalu pergi dari situ.


Tuesday 12 November 2013

Dakwah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Bismillaahirrahmaanirrahiim.

Baru-baru ini, aku telah mengambil keputusan untuk me'nyahaktifkan' twittah aku. Bukan untuk suka-suka atau atas dasar suruhan orang, tetapi itu semua datangnya dari hati. Datangnya dari kemahuan aku yang tiada campur tangan orang lain. 

Untuk beberapa hari ini, aku dalam dilema sama ada hendak me'nyahaktifkan' akaun ask.fm aku atau tidak. Dan apabila difikirkan kembali dan kata-kata dari sebahagian sahabat, mereka pinta dan menasihati aku agar meneruskan dakwah di medan sosial. Dan ya, aku terimanya memandangkan aku ada banyak urusan yang belum selesai dengan sebahagian pengguna ask.fm.

Jika tidak silap, beberapa hari yang lepas aku ada menerima satu soalan. Soalannya berbunyi, pendekatan 'Dakwah Biar Sentap' vs 'Dakwah Biar Mantap' mana satu yang lebih baik dan berkesan? Soalan ini telah diajukan oleh seorang yang tidak dikenali apabila ramai dai'e cyber menggunakan dua kaedah tersebut. 

Sebelum itu, biarlah aku jelaskan makna dakwah itu dengan terlebih dahulu. Dakwah itu bermaksud menyeru atau mengajak. Di sini, aku tidak mahu menghuraikan lebih dalam maksud dakwah tetapi yang jelas ianya lebih kepada mengajak. 

Baiklah, cuba kita ubah term 'Dakwah Biar Sentap' dan 'Dakwah Biar Mantap' itu kepada perkataan yang lain.

Dakwah Biar Sentap= Mengajak/Menyeru Biar Sentap.
Dakwah Biar Mantap= Mengajak/Menyeru Biar Mantap.

Baiklah, apabila dilihat semula ayat yang dipaparkan diatas, aku cuma mengubah perkataan 'Dakwah' kepada perkataan 'Mengajak/Menyeru' dan yang lainnya, masih sama. Apakah 'Dakwah' dan 'Mengajak/Menyeru' itu mempunyai perbezaan? Tiada perbezaan. Yang berbeza hanyalah, dakwah itu perkataan Arab manakala ajak/seru itu perkataan Melayu tetapi maksud sama.


(2.1) Dakwah/mengajak/menyeru Biar Sentap!

Apa yang aku hendak kaitkan dengan tajuk di atas ialah apakah perlu dalam sebuah dakwah atau ajakan itu diselitkan 'sentap'?

Apakah orang akan lebih tertarik dengan dakwah kita apabila diselitkan unsur sentap?
Jawapannya: 80% tidak dan 20% ya.

Inferens jawapan:
Ini kerana manusia ini fitrahnya lebih tertarik dengan sesuatu yang menarik, sesuatu yang sedap mata memandang dan sedap telinga mendengar. Kerana ini memang tabiat manusia. Semua manusia. Apakah kau akan tertarik melihat tempat yang kotor? Sudah pasti tidak. Apakah kau akan tertarik dengan sesuatu yang kasar? Sudah tentu tidak.

Hati manusia ini lain bentuknya. Ada yang lembut dan ada yang keras. Apabila kau berdakwah menggunakan kaedah sentap pada hati yang lembut, pasti akan ada hati yang terhiris kerana hati yang lembut ini sensitif. Ada yang akan menerima dan ada yang tidak kerana ramai orang lebih terarah kepada dakwah yang lembut tetapi bertegas. Dan jika kau gunakan kaedah dakwah ini pada hati yang keras, mungkin akan timbul permusuhan sedangkan matalamat dakwah adalah untuk mengajak mereka menuju kebaikan. Mungkin kesannya lambat jika menggunakan kaedah yang lebih lembut, tapi hidayah itu milik Allah. Kalau sentap macam mana pun, tapi tak berubah, tak berguna. Biar tutur kata kita lebih berhemah daripada sentap. 

Dan lagi satu, risiko dakwah biar sentap ini menjadikan seseorang itu menyimpan rasa benci terhadap kita. Kau berdakwah tapi tanpa kau sedar, kau melukakan hati yang mendengar kata-kata yang sentap itu. Pasti rasa tidak enak kan apabila sedar diri kita melukakan hati orang.

(2.2) Dakwah/menyeru/mengajak Biar Mantap!

Dakwah sebegini aku kurang menggemarinya atau dengan lebih tepat, tidak gemar. Bagi aku, dakwah itu biarlah sederhana namun kualitinya amat memberansangkan. Biarlah ilmu yang disampaikan sedikit asalkan mereka faham dan mengamalkannya. 

Selain itu, jika setakat menyeru orang bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan tetapi diri sendiri tidak melakukannya, itu namanya HIPOKRIT.

Pung pang sana pung pang sini tetapi MASA untuk mengamalkan semua itu tidak terlaksana, sia-sia sahaja.

Contohilah dakwah Rasulullah. Baginda berdakwah dalam masa yang sama mengamalkannya. Biarlah dakwah itu sederhana tetapi kita mengamalkan dakwah itu sendiri. You preach, you do! 

Jadi jawapan aku, berdakwa biarlah sederhana tetapi berkesan serta diamalkan. Itu lebih baik daripada dua kaedah tersebut.


P/s: Rasulullah berdakwah dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Tiada kata-kata sinis yang keluar dari bibir Rasulullah atau kata-kata sentap yang keluar. Tetapi kenapa kita tidak mengikut perlakuan Rasulullah? Bukankah kelembutan itu sesuatu yang Allah sukai? Tetapi kenapa masih mengikut kedah sentap tersebut? Tepuk dada tanya iman.

Monday 28 October 2013

Kecil




It's a common thing when we want to do something,
Then there will be someone stop us from doing that thing,
They stop us by their words or maybe by action,
But for people who are strong enough and believe their ownselves,
They will never break up and take all those words and actions,
As a motivation.

Itulah lumrah kita dalam kehidupan,
Manusia dengan sifat dengki tidak pernah terpisah,
Dengki dan manusia bagaikan sudah menjadi acuan sebati yang memang sukar
untuk dipisahkan.

Apabila kita melihat seseorang itu mengatasi lebih daripada diri kita,
Bohonglah kalau tiada sifat cemburu dalam hati,
Memang cemburu itu akan hadir dalam diri,
Tetapi cemburu itu perlu diambil perhatian,
Jangan biarkan cemburu itu bertukar rupa menjadi dengki,
Apabila dengki sudah merasuk hati,
Maka akan binasalah salah seorang anak Adam dari segi rohani atau jasmani,
Atau kedua-duanya sekali.

Kecil,
Kecil yang aku hendak maksudkan bukanlah saiz,
Bukanlah rupa,
Tapi adalah sikap memperkecilkan dan juga diperkecilkan,
Sikap memperkecilkan ini sering kali muncul apabila seseorang itu ingin melakukan
sesuatu di luar kemahirannya,
Dan akan ada orang lain yang akan mempertikaikan atau memperkecilkan keinginan seseorang itu
sedangkan hal itu tidak mustahil untuk berlaku.

Kadang kala,
Sikap memperkecilkan orang ini hadir tatkala kita sudah tahu akan kebolehan seseorang itu,
Apabila kau melihat dia ingin memulakan langkah baru bagi memajukan hidupnya,
Rasa dengki itu hadir dan kau mula memperkecilkan kebolehannya,
Sedangkan kau tahu dia mampu,
Lantas menjadikan orang itu berasa tidak yakin dengan kemampuannya,
Dan yang salah dan berdosa itu adalah kau!

Aku pinta pada kalian,
Jika ada dalam diri kalian sikap memperkecilkan orang lain,
Maka buanglah jauh-jauh,
Kerana sikap itu akan membuatkan seseorang itu berputus asa,
Dan jika dia berputus asa, 
Saham dosa turut mengalir kepada kita kerana kitalah punca utama
kejatuhan seseorang itu.

Dan jika kalian ingin tahu,
Kerana sikap memperkecilkan inilah,
Umat Islam sentiasa di takuk lama,
Kerana di antara kita ada yang suka menjatuhkan sesama sendiri,
Dengan memperkecilkan kebolehan orang lain
agar seseorang itu tidak berada pada tahap yang lebih tinggi daripadanya.

Monday 21 October 2013

Futur

Satu masalah yang sering melanda umat Islam,
Iaitu berangan lebih tapi usaha sekecil zarah.
 
Berjaya itu impian semua insan,
Berjaya itu keinginan setiap orang,
Namun, hanya sebahagian mereka sahaja,
Yang benar-benar dapat memiliki kejayaan itu,
Dengan berbekalkan semangat dan usaha yang lebih.
 
Futur,
Berputus asa,
Jatuh,
Lemah,
Adalah perkataan yang berbeza namun sama pengertian,
Apabila kau futur,
Kau harus ingat bahawa ketika itu iman kau berada di tahap merah,
Berada di tahap kritikal,
Dan keadaan kritikal itu hanya bisa diselamatkan oleh kau,
Sama ada kau mahu bangun semula atau jatuh terus.
 
Maka dengan itu,
Aku minta kau agar bangkit semula,
Jangan biarkan penyakit ini terus menular jauh ke dasar Iman,
Aku khuatir,
Iman itu tidak mampu bertahan,
Ayuh,
Bangun dan lihat di sekeliling kau,
Ummat Islam di sekeliling kau memerlukan semangat dari kau,
Jika kau jatuh,
Siapa lagi yang mahu bangkitkan mereka?
Siapa lagi yang menjadi sumber inspirasi mereka?
Kita adalah sumber inspirasi ummat Islam yang lemah,
Sumber inspirasi ummat Islam yang ditindas,
Jangan biarkan musuh Islam melihat kita seperti sampah,
Jangan,
Bangunlah kembali,
Fikirkan masa depanmu. 
 
Ingatlah,
Futur bukan sikap umat Islam,
Tunjukkanlah diri ini bisa menjadi mukmeen qowiy yang hebat,
Di mata mereka yang memandang sinis akan Islam,
Tunjukkan kepada mereka bahawa dunia ini milik kita,
Bahawa kita ini penggoncang dunia.

Tuesday 15 October 2013

Takut




Takut? Takut apa? Takut hantu? Takut manusia? Heh, berbaloikah kesemua ketakutan itu? Atau hanya membawa kau ke arus kekufuran?

Apa yang ingin aku bicarakan dibawah tajuk 'Takut' ini adalah dimanakah kita letakkan ketakutan yang ada dalam diri kita ini. Adakah kita letakkan ketakutan ini pada sesuatu yang sia-sia, atau meletakkan ketakutan ini pada sesuatu yang lebih bernilai? Ayuh, kita semak dimana kita letak ketakutan itu.

Apabila berbicara soal takut bersama anak-anak kecil, apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah ; takut hantu dan takut orang jahat/manusia. Kenapa hal ini boleh berlaku? Kerana sejak dari awal pembesaran mereka, ibu bapa sering menggunakan term 'hantu' dan 'orang jahat' sebagai momokan kepada anak-anak mereka sebagai cara untuk anak-anak mereka mendengar kata-kata mereka. Selain itu juga, lambakan cerita hantu di kaca televisyen telah berjaya merasuk minda anak-anak kecil ini agar lebih takut kepada jin atau syaitan lantas lupa kepada siapakah mereka lebih berhak takutkan.

" Mainlah dekat tempat gelap tu, kena sorok dengan hantu, baru tahu. Baik dengar cakap ibu, kalau tidak kena sorok hantu nanti." Contoh ayatnya. *lebih kuranglah tu kan* Apabila si anak dengar si ibu berkata sedemikian, sudah tentulah sebahagian kata-kata momokan itu berjaya masuk ke dalam minda anak-anak kecil lalu minda mereka akan setkan bahawa hantu ini merupakan makhluk yang merbahaya dan menyeramkan dan patut ditakuti.

TETTTTTTTTT! Salah itu, salah!

Jadi, berdasarkan ayat-ayat di atas, boleh kita simpulkan di sini bahawa definisi ketakutan bagi seseorang itu bermula sejak kecil lagi. Definisi ketakutan itu hanya boleh diterangkan oleh ibu bapa sahaja kerana merekalah insan yang paling rapat dengan si anak. Namun, apabila si anak menginjak dewasa, definisi ketakutan ini akan bertukar selaras dengan peningkatan IQ mereka. Sama ada mereka masih meletakkan ketakutan itu pada hantu/orang jahat atau meletakkan kepada yang lebih berhak iaitu Allah. Itu semua terpulang kepada ibu bapa dalam menentukan definisi ketakutan itu. Tetapi alangkah lebih baik jika definisi ketakutan itu diterjemahkan oleh ibu bapa dengan penyampaian yang lebih islamik.

" Aippppp. Tak elok buat macam tu. Allah marah nanti. Tak takut ke Allah marah?" Hah, kan comel gitu. Cubalah try. Aku tak boleh nak try, sebab anak-anak tak ada lagi tapi inshaa Allah aku akan try pada anak saudara aku yang sulung yang bakal lahir pada bulan November ini. Kepada ibu bapa atau kakak dan abang-abang yang mempunyai adik yang kecil, takutkanlah mereka dengan nama Allah agar apabila sudah besar kelak, setiap tindakan mereka akan lebih berhati-hati kerana sejak kecil, ketakutan kepada Allah sudah diterapkan dalam diri mereka. Tetapi jika sejak kecil mereka dimomokkan dengan hantu atau orang jahat, apabila mereka meningkat dewasa, tidak mustahil mereka lebih takutkan manusia/makhluk halus berbanding Allah.

Okay, berdasarkan ayat-ayat dekat atas ini semua, ayuh kita ubah definisi ketakutan dalam diri kita. Buang segala momokan yang bersarang dekat kepala itu sejak kecil dan gantikan dengan ketakutan terhadap Allah. 

Takut terhadap Allah di sini bermaksud kita takut untuk melakukan kemunkaran di muka bumi kerana Allah Taala. Serahkanlah segala ketakutan yang ada pada Allah. Jika kita takut pada Allah, Allah akan lindungi kita dari segala mara bahaya yang berpunca dari manusia atau makhluk halus. 

' Kanak-kanak bawah 13 tahun perlukan bimbingan ibu bapa bagi menonton cerita ini." Pernah dengar ayat ini? Ayat ini bukan sesuka hati dia letak sebelum tayangan filem/drama itu, tetapi lebih kepada satu larangan kepada kanak-kanak bawah umur untuk tonton filem sebegini kerana filem sebegini bermain dengan psikologi seseorang kanak-kanak itu. 
Jika dahulu kita letakkan ketakutan kita selain daripada Allah, dengan itu, aku mengajak kita semua untuk meletakkan segala ketakutan kepada Allah dan pinggirkan segala ketakutan kepada manusia. Kerana apabila kita takutkan manusia lebih, kita akan melakukan sesuatu itu lebih kepada arahan seseorang itu berbanding suruhan Allah.
Assalamualaikum.
************
Maaf jika penyampaian lebih kepada cara-cara mendidik anak. T.T  
 
  


Sunday 6 October 2013

Kecewa


This what you should be.

Kecewa itu perit,
Kecewa itu pedih,
Kecewa itu menyedihkan,
Namun, apa yang menyebabkan kau kecewa?
Kerana manusia?
Pernahkah kau kecewa kerana diri kau sendiri?
Pernahkah kau kecewa kerana tidak mampu melakukan segala
perintahNya?
Pernahkah?

Kecewa itu indah,
Apabila kita mengambilnya sebagai pengajaran,
Kerana melalui pengajaran,
Kita berusaha untuk tidak melakukan kesilapan lagi,
Dan lebih bersemangat.

Tetapi kecewa itu juga bisa menjadi pemusnah,
Andai kau tidak cuba bangun dari kekecewaan itu,
Tetapi bagaimana untuk bangun dari kekecewaan itu?
Yakinlah,
Yakinlah kepada Allah bahawa setiap kekecewaan itu,
Pasti akan ada kebahagiaan yang menanti,
Jangan biarkan kekecewaan itu membawa kau ke satu arus,
Iaitu dengan menyalahkan takdir Tuhan atas apa yang terjadi.

Bangkitlah andai kau kecewa,
Tunjukkan pada insan yang mengecewakan kau itu,
Bahawa kecewaan kau itu mampu berganti dengan kebahagiaan,
Biarkan bibirmu terus mengukir senyuman,
Walaupun mereka bertindak kejam atas dirimu,
Kerana sebuah senyuman mampu menabahkan hatimu,
Percayalah.

Kekecewaan itu jangan dibiarkan begitu sahaja,
Jangan biarkan kecewa itu terus terpendam,
Perdengarkanlah ia kepada Yang Esa,
Kerana Allah sentiasa mendengar rintihan kita,
Namun, apabila kau perdengarkan rintihan kau kepada
manusia,
Mereka tidak mampu melakukan apa-apa kecuali mendengar,
Tetapi jika kau luahkan pada Allah,
Dia akan balas dengan meniupkan ketenangan dalam hati kau.

Jika rakanmu telah mengecewakanmu,
Maka, maafkanlah dia,
Kerana dia juga seperti kau yang juga membuat kesilapan,
Andai kemaafan tidak diberikan untuknya,
Sedarlah, kau merupakan insan yang kejam,
Sedangkan nabi ampunkan ummatnya,
Maka begitu juga kita,
Sedarlah,
Apabila kita tidak memaafkan seseorang itu,
Kita sebenarnya sedang memalukan nabi dengan tingkah laku kita,
Allahu.

Jika kau kecewa kerana cinta manusia,
Kembalikanlah cintamu kepada Yang Esa,
Kerana hanya Dia yang benar layak dalam menerima cintamu,
Dan apabila kau berikan cinta kau buat manusia,
Kau mungkin kecewa,
Tapi apabila kau berikan cinta kau untuk Allah,
Kau tidak akan kecewa kerana dia akan membalas dengan kasih
yang lebih agung.



Just because you're afraid to be disappointed,
it doesn't mean you have to run away from try
something that you want. Try to achieve everything that
you want and prepare yourself for having risks because of 
your trying. And one of the risks is being disappointed. - Kayu

Friday 4 October 2013

Dia atau dia?




Duduk termenung. 
Memerhati ciptaan Tuhan dalam sendu. Sendu kerana sebuah cinta. Huh. Cinta antara manusia yang tidak kekal lama di muka bumi ini.
Tunduk. Pasir pantai yang memutih dipandang dengan mata yang merah. Kerana sebuah cinta manusia, air mata mudah mengalir. Qowiy kah dia? Mukmeen kah dia? Atau hanya sekadar Muslim?

" Hawwas..."

Namanya dipanggil lalu dia memandang seketika sebelum memalingkan mukanya ke arah lain tatkala bertembung pandang dengan sahabatnya. Malu memperlihatkan matanya yang merah.

" Hamani sudah bertunang," kata Hawwas perlahan. Tangannya menggenggam kuat pasir yang berada dalam genggaman.

" Jadi?" 

" Hatiku pedih, sepedih-pedihnya." Hawwas menumbuk perlahan dadanya. Dada yang di mana terletaknya dua buah cinta. Cinta hakiki dan cinta fitrah namun adakah cinta hakikinya masih berada di tangga pertama? Allahu.

" Hawwas, Hawwas, Hawwas. Namamu cukup indah. Yang bersemangat. Itu maksud namamu bukan? Tapi dimanakah semangatmu wahai Hawwas? Sudah dibuang ke lautkah semangat itu?"

Terpukul namun membisu. Dia sudah tidak mampu bersuara. Semangatnya bagai direnggut pergi tatkala perkhabaran itu menusuk ke telinganya.

" Hawwas, kau kenal Hamani?" tanya Saif.

" Sudah tentu aku kenal. Kenapa?" Bibir mengoyak senyuman kecil tatkala sebaris nama disebut.

" Dia sudah bertunang dengan Dzul Fahmi."

Dummmmm! Rasa gelap dunianya mendengar perkhabaran itu.

" Mustahil," bisiknya perlahan.

" Tiada yang mustahil jika itu jodoh mereka. Allah telah menentukan yang terbaik buat mereka." Saif berlalu pergi meninggalkan Hawwas. Dia tahu Hawwas mencintai Hamani. Melalui sinaran mata Hawwas tatkala melihat Hamani, dia tahu ada satu perasaan yang terpendam jauh. Dan pandangan mata Hawwas, amat merisaukan dirinya.
 
" Hawwas..."

Dia tersentak. Segala lamunan berkecai. 

" Kau semakin jauh, Hawwas. Kau telah jauh dalam lautan cinta manusia. Kau lemaskan diri kau dalam hati seorang Hawa. Itu cinta murahan."

" Kenapa kau cakap cintaku padanya adalah cinta murahan? Cinta aku padanya tulus. Aku mencintainya kerana agamanya dan akhlaknya." Raut wajahnya tegang. Tidak bisa menerima kata-kata sahabatnya itu.

" Benarkah kau mencintainya? Benarkah kau mampu menjadi pemimpinnya jika kelak dia menjadi zaujah mu? Jika benar kau mencintainya, tuntunlah hati kau dahulu ke sisi Allah. Kembalikan hak Allah yang ada pada dirimu. Kembalikan cintaNya ke dalam hati mu."

" Aku mencintainya, Nuwair. Terlalu."

" Sudahlah, Hawwas. Cinta kau padanya tidak bermakna andai kau menyisihkan cinta yang pertama."

Diam. Tersentak mendengar kata-kata sahabatnya. Rasa hatinya tiba-tiba menjadi kosong. Kosong bukan kerana kehilangan cinta manusia tetapi ada sebuah cinta yang amat besar nilainya terpinggir jauh.

" Cinta kau padanya tidak bermakna andai kau menyisihkan cinta yang pertama."

Dia terlalu taksub pada cinta manusia. Dia terlalu khayal dengan angan-angannya. Dan tanpa sedar, cinta hakikinya semakin jauh dari hatinya. Hatinya kosong.

Air matanya menitis. Kini, menitis bukan kerana sebuah cinta manusia. Tetapi sebuah cinta antara hamba dan Tuhannya.

' Allah, di paras manakah imanku terhadapMu, Ya Allah? Aku mengabaikan setiap suruhanmu, aku membiarkan angan-anganku terpasang jauh terhadap manusia namun angan-anganku tidak terpasang pada diriMu Ya Allah.' Hatinya berbisik sendiri.

Bahunya ditepuk perlahan. Wajah sahabatnya yang bernama Nuwair dipandang dengan mata yang berkaca-kaca.

" Aku bersyukur Allah mempertemukan Hamani dengan insan lain. Kerana hal itu, aku mendapat kembali Hawwas yang dulu. Hawwas, lepaskan cintamu terhadapnya pergi. Biarkan cinta itu pergi jika itu sahaja caranya untuk kau kembali pada Dia Yang Esa."

" Percaya pada takdirNya, Hawwas. Hadapi takdir mendatang dengan tenang. Jika benar dia milikmu, Hawwas, dia pasti akan menjadi milikmu. Jangan pernah meragukan takdirNya Hawwas. Jangan pernah menyalahkan takdirNya Hawwas. Allah mempunyai rancangan yang lebih hebat berbanding rancangan kita. Ingat Hawwas, sebelum kau mencintai makhlukNya, kau cintailah Dia lebih dari kau mencintai diri kau dan segala yang ada di muka bumi ini. Kerana sesungguhnya, manusia sering jatuh dalam kekecewaan terhadap cinta apabila cinta pertamanya tidak kukuh."

Sahabatnya berlalu pergi. Dan dia duduk termenung memikirkan soal cinta. Jika tadi, fikirannya hanya untuk cinta manusia, kini fikirannya jauh melayan akan cinta Allah. Cinta hakiki. Cinta yang sepatutnya menjadi hak Allah sebelum dipinjamkan kepada insan lain.


"Sedalam mana cinta kau terhadap dia, sehebat mana cinta kau terhadap dia, tapi takdir kau bukan dengannya,
tetap kekecewaan yang kau dapat.
Jangan mencintai terlalu dalam, jangan mencintai terlalu
berharap, kerana cinta yang hebat, cinta yang dalam,
cinta yang penuh harapan, hanyalah untuk Allah Yang Esa.
Sesungguhnya, Allah pasti membalas cintamu dengan lebih 
hebat. Keep calm and love Allah." - Dia  


Wednesday 2 October 2013

Cinta Fitrah



Biarkan cintamu menghala ke sisi Allah sebelum menjalar 
jauh di hati insan. 


Cinta itu fitrah,
Cinta itu suci,
Dan cinta itu indah.

Mencintai seseorang itu,
Tidak pernah dihukumkan berdosa,
Atau merupakan sejenis maksiat,
Tetapi cinta adalah sesuatu perasaan fitrah,
Yang Allah kirimkan di setiap hati manusia,
Kerana melalui cinta,
Manusia akan ada sifat kemanusiaan dalam diri,
Kerana melalui cinta, akan ada rasa kasih.

Zina hati itu berbeza dengan cinta,
Zina hati itu terjadi apabila kita membayangkan yang tidak sepatutnya,
Pada insan yang kita cintai,
Walaupun cinta dan zina hati itu berbeza tetapi berkait rapat.

Aku tidak kata cinta salah,
Sama sekali tidak,
Tapi ianya menjadi sebuah kesalahan dan dosa,
Apabila cinta itu dikawal dengan nafsu,
Perlu kau ingat,
Apabila cinta dikawal dengan nafsu,
Cinta hakiki iaitu cinta terhadap Tuhan pasti tergugat.

Sebelum kau mencintai yang lain,
Cintailah Allah dahulu,
Kemudian, cintailah Rasulmu,
Cintailah agamamu,
Dan cintailah keluargamu dan saudara seislammu yang lain,
Dan jangan lupa,
Cintailah diri kau terlebih dahulu dengan melaksanakan segala suruhanNya,

 
Jika kau mencintai seseorang itu,
Pendam sahaja perasaan itu,
Atau bertindak dengan menghalalkan sebuah ikatan,
Antara Adam dan Hawa.

Jangan pernah sesekali menyalahgunakan cinta,
Kerana cinta itu suci,
Cinta itu milik Allah,
Maka salurkan cintamu di sebuah jalan yang diredhai Allah.


Friday 27 September 2013

Berubahkah aku?

   
       Nama aku Kayu. Ya, Kayu. Meskipun ramai yang menanyakan, kenapa harus 'kayu' yang menjadi pilihanku sebagai nama samaranku sedangkan ianya amat tidak sesuai untukku kerana kayu itu mempunyai keunikannya tersendiri. Biasanya kita dengar keunikan itu sebagai kelebihan. Tetapi dalam kisahku ini, kayu ini mempunyai keunikan iaitu kekurangannya sendiri. Namun, kekurangan yang ia ada, jangan disangka tiada kelebihannya.

       Kayu ini rapuh, mudah patah dan mudah reput. Dan itulah aku. Itulah Iman aku. Iman aku ini rapuh, dan tidak bisa menjadi sekuat dan segah besi. Namun, walaupun ramai yang cuba menjatuhkan aku kerana menganggap aku ini hipokrit dalam penghijrahanku, aku tetap berpegang kepada Imanku ini walaupun ianya hanya sebesar biji sawi yang ada surut serta pasangnya.

     Dulu, jika kau mahu tahu, aku jahil orangnya. Jahil akan erti dunia yang sebenar. Di luar, mereka melihatku seperti insan biasa yang tidak bermasalah malah ada yang mengatakan bahawa hidupku ini happy-go-lucky. Ya, hidup aku memang bahagia tetapi kegembiraanku berlandaskan penderitaan orang lain. Aku tidak pernah mengambil pelajaran terhadap apa yang tertimpa ke atasku malah aku memarahi takdir dan mempersoalkan takdir itu. Aku asyik bertanya, kenapa, kenapa dan terus-terusan bertanya kenapa sedangkan itu semua dugaan buat aku. Mereka melihat aku seperti insan biasa yang tidak terlepas dari masalah, tapi masalahku bukan berkaitan masalah dunia kerana aku sukar untuk mengalami masalah dunia. Masalahku selalu berkait akan Iman. Iman yang pada tika itu, aku tidak mahu kehadirannya. Malah, aku bangga dengan setiap tindakan aku padahal itu semua alat pembinasa untuk aku.
 
       Sampailah suatu ketika, aku rasa hidup aku ini sungguh bermasalah. Aku cari masalah itu. Aku cari sepuas-puasnya namun tidak ku jumpa. Aneh. Kerana tiap malam aku terfikir akan masalah yang tidak ku tahu apa. Masalah yang bukan berkaitan dunia tapi berkaitan rohani. Berkaitan batinku. Aku rasa batin aku terseksa sekali tetapi aku tidak tahu puncanya.
 
       Aku minta pelbagai kata-kata motivasi daripada mereka yang profesional untuk menyelesaikan masalah aku, tapi tiada seorang pun mampu rungkaikan masalah itu malah masalah itu makin lama makin teruk. Aku rasa dunia aku makin kelam sehinggalah aku mengenali seseorang itu. Seseorang yang tidak ku tahu siapa dia, tapi si dia yang membawa perubahan itu kepada aku. Si dia yang memberi inspirasi kepada aku untuk berubah. Si dia yang menjadi orang pertama yang menyuruh aku muhasabah diri. Si dia yang menyuruh aku mencari balik kesalahan yang pernah ku buat. Dan dialah yang meminta aku menyelesaikan masalah itu di tikar sejadah. Dummm! Pada ketika itu, aku rasa langit macam runtuh. Dan ketika itu aku terfikir, berapa kali aku mengadu kepada Allah? Berapa kali? Orang solat, aku solat. Tapi solatku tidak terisi dengan penghayatan kerana fikiran ku asyik terhadap duniawi. Allah...
 
        Ketika aku dalam mendekatkan diri kepada Allah, tiba-tiba ada rasa sebak mengalir. Aku rasa dada aku sempit sangat tetapi beban masalah yang bersarang di kepala tika dahulu terasa semakin ringan. Aku cuba halau rasa sebak itu tetapi tak mampu... dan aku menangis seorang diri. Menangisi diri yang kembali semula mendekatkan diri kepadaNya tetapi.. aku tertanya, apakah pendekatan ini akan terus berlarutan atau akan terhenti  apabila semuanya selesai? Apakah aku benar-benar berubah?

       Persoalan itu terus bermain dalam kepalaku. Setiap kali aku melakukan sesuatu perkara yang lagha, akan ada satu soalan yang menerjah fikiran. " Berubahkah aku ini sedangkan dulu aku sentiasa mengharapkan perubahan?" Ya, inilah soalan tersebut. Setiap perkara yang lagha yang aku lakukan, pasti soalan ini muncul dahulu. Dan soalan ini terhasil daripada Imanku. Ya, itulah suara imanku. Dia cuba menghalang pekerjaan sia-siaku dengan mengirimkan persoalan itu tetapi adakalanya aku tidak pedulikannya. Dan aku terus melakukan perkara yang lagha itu tanpa memikirkan diri ini dalam perubahan ke arah mukmin yang hebat. Dan sekali lagi, berubahkah aku? Huh, berubah taik kucing.

        Dekat twitter, wah, diri inilah yang kencang berkata. Diri inilah yang hebat berkata tapi apabila di luar, senyap macam tikus. Hina. Tiada dakwah. Tiada usaha untuk mencegah kemungkaran. Yang ada hanyalah, suara hati yang membenci kemungkaran tapi dalam masa yang sama, kemungkaran turut dilakukan. Adakah itu perubahan yang aku inginkan setelah bangkit dari katil jahiliyyah? Jawapannya tidak.

       Aku jatuh berkali-kali. Tetapi dalam setiap jatuhku, aku mampu kira dengan jari berapa kali aku bangun. Aku terus jatuh ke tanah tanpa bangun hanya kerana sebuah dugaan kecil. Allah...Aku juga perlukan tarbiyyah. Aku juga perlukan nasihat. Buat masa sekarang, cuba kalian pula yang berikan aku kata-kata semangat daripada meminta aku kata-kata semangat? Aku bukan menolak untuk memberi kata-kata semangat tetapi aku juga sedang futur, dan sudah tentu kata-kata semangat itu bukan datang dari hati. Maafkan aku.. maaf...


Friday 20 September 2013

Sakit

 ASSALAMUALAIKUM

Google


*Phuhhhh* Hesy, banyak sangat habuk dekat blog ni. Ehem, salam sejahtera warga pembaca. Sudah sekian lama aku tak curahkan apa-apa ilmu dekat blog ini. *Baru 5 hari je pun* Dengan itu, maaflah kerana membiarkan blog ini sepi untuk seketika. Bukan tidak sudi atau kering idea untuk mengupdate apa-apa isi tapi kesihatan tubuh mengekang tangan ni daripada menaip.  Dekat dalam fikiran ni, berpusu-pusu ilmu Allah masuk tapi tersekat setiap kali nak curahkan dekat blog. Bukan apa, kepala ni berat sangat, tak mampu nak angkat. Sekarang ini pun, masih ada rasa sakitnya. Suhu badan pun kejap naik kejap turun. Semalam demam-demam aku pergi melantak maggi, okay tu memang cari nahaslah kan namanya. Memang terbakar tekak aku sebab kari dia tu pedas lepas tu berlawan pula dengan tekak aku yang luka ni. Memang bagaikan buku bertemu ruas lah. Memang terbaik!

 Kali ini aku rasa, demam yang aku alami lain macam sangat. Jumpa doktor, mana tahu kena demam denggi ke apa. Sekali rupa-rupanya abang ipaq aku dekat Putrajaya dah kena demam denggi dulu. Allah.. Walau apapun, aku anggap ini sebagai kifarah dosa dan ujian untuk aku. Alhamdulillah, aku tak kena demam denggi. Nyamuk mana yang nak hisap darah orang macam aku ni. Nyamuk sasau je hisap. Ehh.

Okay, stop untuk mukadimah di atas. Kali ini, walaupun sakit-sakit, dengan suhu badan yang masih tinggi, aku menaip juga dekat blog ni. Bukan apa, kesian tengok blog ni. Dekat ask fm pun ada anon yang bertanya bila aku nak buat post. Aku tak berapa mampu nak curahkan seberapa banyak ilmu Allah yang berguna buat sementara ini sebab kepala aku ni pun entah betul entah tidak, sebab pening teramat sangat.

Tapi tak apa, aku selitkan sedikit hikmah disebalik sakit.

HIKMAH

-Sakit ni merupakan tanda cinta Allah kepada kita. Kenapa pula tanda cinta? Sebab melalui sakit, 
kita akan berhenti mencari nikmat duniawi dan beristirehat serta mendekatkan diri kepada Allah.
Tapi ada juga orang yang sakit-sakit tetap nak kejar nikmat dunia. Usah begitu, berehat sahajalah.
Jangan terlalu sombong.

- Sakit merupakan pengajaran. Bila kita dah sakit, baru kita rasa nak hargai waktu sihat kita.
Dulu, doktor kata jangan minum teh tarik banyak sangat nanti kencing manis. 
Tapi minum juga. Dah kena kencing manis, baru nak menyesal.

- Sakit merupakan teguran atas kesombongan manusia. Tatkala sihat, manusia 
kadang-kadang lupa yang diri mereka lemah. Mereka lupa segala kekuatan itu
bergantung kepada Allah. Mereka sangka mereka sudah cukup berpengaruh, sudah cukup 
kuat dan tidak perlukan bantuan siapa-siapa. Tapi apabila sakit, tiada siapa yang dapat membantu
mereka menyembuhkan kesakitan itu melainkan dengan kuasa Allah. Ketika itulah, baru
Allah dicarinya.

- Sakit merupakan ruang untuk bertaubat dan menghapuskan dosa.
Bila kita sakit, Allah tarik segala nikmat yang ada pada kita tapi kita jangan lupa,
nikmat yang ditarik adalah untuk kita mencari Allah. Allah bukan menarik nikmat itu
sesuka hati tapi Allah tariknya bersama dosa-dosa kita. Apabila kita sihat, nikmat itu
dikembalikan semula tetapi dosa-dosa itu Allah tidak kembalikan kepada kita.

Allah Ar -Rahman Ar -Rahim

" Dah sakit tu jangan nak tambah dosa lagi." -Dia

 

Sunday 15 September 2013

Malu




" Babyyy, suapkan ayang ayam goreng tu," kata si gadis dengan nada suara yang urghhh.
 " Aeroplane's coming. Cepat ayang nganga mulut tu." Si balak menyuap manja 
secubit ayam goreng KFC ke dalam mulut ceweknya.
" Hmmmm, sedapnyaaaaaa."

Adam memandang meluat pasangan kekasih yang duduk 
di hadapan meja yang didudukinya. Rasa sebu perutnya melihat adegan 
tidak bermoral itu.

" Woi, angah. Jangan tenung sampai macam tu sekali," tegur Dayyan
yang turut memerhatikan pasangan kekasih di hadapan mereka.
Ayam goreng di pinggannya diusik beberapa kali sahaja.
Hilang selera nak makan bila tengok drama murahan di depan mata.

" Peh! Serius, meluat angah tengok aksi mereka tu,"
kata Adam sambil membuat muka nak termuntah.

" Kalau angah baling meja ni dekat depa berdua, halal tak?"
Dayyan tersenyum kecil melihat aksi adiknya.

" Niat tak menghalalkan cara, ngah."
" Meluatlah along. Angah nak makan pun terus mati selera.
Yang perempuan tu pun satu, tak reti malu ke bertepuk tampar dengan balak 
dia tu. Kalau handsome takpe lah. Ini muka kalah tongkang pecah belakang
rumah kita tu.."
" Ehem! Mengutuk tu berlapik, angah. Kalau ya pun
sakit hati, jangan kutuk ciptaan Tuhan." Serius.

" Sorry.." gumam Adam perlahan.

" So, berdasarkan apa yang angah tengok depan mata angah ni,
cuba angah bagi along punca mereka jadi macam tu."
 " Kurang didikan agama, maybe?" jawab Adam.
" Perhaps. Lain?"
" Lupa Tuhan?"
" Betul. Lupa Tuhan dah dikira secara keseluruhan. Bagi yang tepat dengan
situasi sekarang ni. Cuba tengok mereka berdua itu, apa punca sebenar mereka 
boleh jadi macam tu."
 " Ermmmm... I got no idea," jawab Adam dengan mata 
masih merenung pasangan kekasih di hadapan mereka.

" Malu. Mereka sudah hilang sifat malu," kata Dayyan.
Dia menundukkan pandangannya tatkala matanya bersabung pandang
dengan si cewek yang duduk di hadapan mereka.

" Malu? Apa kena mengena pula dengan malu?"
tanya Adam. Matanya dialihkan memandang abangnya.

" Cabang iman ada berapa Adam?" soal Dayyan, menguji adiknya.
" Ada 60 cabang."

" Okey, cabang Iman ada 60. And as we all know, sifat malu adalah
salah satu dari cabang iman. Jika seseorang itu mempunyai sifat malu,
dia masih mempunyai iman kerana iman dan malu bersifat seiring dalam kehidupan seharian
kita. Seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Abdullah ibn Umar, 
Rasulullah bersabda, " Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan 
maka, kedua-duanya akan hilang." So, dekat sini,
kita dah nampak dengan jelas peranan malu dalam kehidupan kita.
Tanpa sifat malu, tiada iman dalam diri seseorang itu."

" Okay. So, tak mustahillah kan zina yang terjadi dekat muka bumi ni
hasil daripada tiada sifat malu?"

" Yup. Bukan tak mustahil, tapi memang benar. Dekat Malaysia ni,
banyak contoh kita boleh ambil. Contohnya, perempuan yang tidak menutup
aurat, perempuan yang tanpa segan silu disentuh oleh ajnabi, semua itu tidak akan
terjadi jika sifat malu masih ada. Dan semua itu penyumbang ke arah zina."

Adam mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar penjelasan abangnya.

" Sebenarnya Adam, konsep sifat malu ni mudah sahaja.
Malu ni bukan bermula dengan malu terhadap masyarakat.
Tetapi bermula dengan malu terhadap Allah
Malu kepada Allah ni means malu untuk melanggar segala perintah Allah.
Tapi zaman sekarang, sifat malu ni dah terbalik. Mereka malu nak ikut perintah Allah
kerana hidup mereka bertuhankan nafsu.
 Jika kita malu kepada Allah,
maka kita terpelihara dari segala kemaksiatan dekat muka bumi ini kerana sifat ini
membawa kebaikan. Dalam hadis riwayat Bukhari,
Rasulullah bersabda, 'Malu itu tidak akan menyebabkan perkara lain kecuali untuk kebaikan'.
Mudah sahaja kan? Selagi sifat malu kepada Allah ada, selagi itu harapan untuk ke syurga ada. "

Adam mengangguk perlahan. Tiba-tiba ada satu soalan
menerpa ke mindanya. 

" Abang, kawan angah ada kata. Seorang suami yang membiarkan
aurat isterinya itu terpamer di khalayak ramai merupakan suami yang tiada
sifat malu. Pencerahan?"

" Betul. Isteri itu sepatutnya dilindungi. Bukan dilindungi dari segi fizikal sahaja,
tapi dari aibnya juga hendaklah dilindungi. Seorang isteri ini merupakan wanita
yang membawa maruah suami dia. Kalau si suami membiarkan isterinya
mempamerkan aurat tanpa sekatan, bermakna dia dayus dan yang pasti,
sifat malunya sudah hilang kerana dia tidak malu kepada Allah dengan
membiarkan isterinya sebegitu."

Dayyan mencapai cawan kertas berisi milo lalu disedutnya seketika.

" Ada satu hadis riwayat Malik bin Uhamir. Malik mendengar Rasulullah bersabda,
' Allah tidak akan menerima sebarang amalan atau ketaatan seseorang
 yang tiada sifat malu dan angkuh'. Lalu para sahabat bertanya,
' Siapakah orangnya yang angkuh dan tidak mempunyai malu ini ya Rasulullah?' 
Rasulullah menjawab, 
'Seorang lelaki yang membiarkan isterinya melayani lelaki bukan muhrimnya.'
Maksud melayani lelaki bukan muhrim disini adalah isteri yang mempamerkan
auratnya kepada lelaki yang ajnabi. Jadi, melalui hadis ini,
lelaki yang membiarkan isterinya mempamerkan auratnya bukan sahaja
digelar dayus, malah mereka adalah angkuh dan tiada sifat malu."

" Lelaki yang sudah menyentuh wanita yang bukan isterinya,
tidak layak dijadikan suami kerana sebelum bergelar suami,
dia sudah tidak mampu melindungi wanita di sekelilingnya yang sepatutnya
dibimbing bukan dijadikan sebagai alat permainan nafsu mereka. Oleh itu,
jika hendak selamat, kaum Hawa dan Adam perlu bekerjasama bukan 
menuding jari akan kesalahan yang berlaku. Contohnya macam kes zina.
Masyarakat akan menuding jari dekat kaum Hawa dengan mengatakan
mereka tidak pandai menjaga diri. Padahal, kes begini,
dua-duanya bersalah. Dua-duanya tiada sifat malu kepada Allah.
Dalam hadis riwayat  Anas bin Malik, Rasulullah bersabda,
' Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, 
dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.' "

" Okay, faham. Kesimpulannya, tiada sifat malu, tiada iman."

" Yup, betul" balas Dayyan.

Lemah




Aku penat,
Aku lelah,
Aku dah tak kuat,
Iman aku sudah menipis,
Kemarahan aku semakin memuncak,
Jiwa aku semakin sakit,
Hati aku semakin parah,
Kesabaran aku semakin hilang.

Ya Allah,
Ujian yang kau timpakan,
Tidaklah sehebat dan sekuat mana,
Tapi,
Kenapa kesabaran aku tidak mampu mengawal kemarahan ku?
Kenapa benciku telah menguasai diriku?
Kenapa imanku menjadi lemah?
Apa silapku Ya Allah?
 
Apakah selama ini aku terlalu leka,
Sehinggakan Kau timpakan ujian ini
untuk mengembalikan aku kepadaMu?
Aku lalai Ya Allah,
Aku leka dengan duniawi,
Aku lalai sebagai seorang anak,
Aku lalai sebagai seorang hamba,
Aku lalai sebagai ummat Rasulullah.
 
Ampunkan aku,
Ampunkan aku kerana menjadi insan yang tak reti bersyukur,
Aku tahu,
Kau timpakan ujian ini untuk menguji diriku,
Tapi,
Aku gagal menempuhinya.
 
Sepatutnya aku membimbing dia,
Bukan menjawabnya dengan kasar,
Allah....
Allah....
Lindungilah segala tingkahku ya Allah,
Aku lemah,
Aku rapuh.
 
 *********
Kadang kala, ujian yang Allah berikan tidaklah sekuat mana. Tapi, oleh kerana iman tipis, ujian yang kecil pon terasa berat. Belum lagi ujian yang berat. Setiap ujian yang Allah berikan tanda kasihNya kepada kita. Tanda dia mahu kita kembali fokus kepada tanggungjawab kita yang sebenar. Tapi kita yang salah faham. Kita kata Allah tak adil. Padahal, kita yang tak adil. 

Setiap ujian yang Allah berikan mampu dihadapi oleh kita semua kerana ujian yang diberikan berdasarkan kemampuan kita. So, tak ada alasan untuk putus asa. Sebab tu Allah murka jika hambaNya putus asa sebab ujian yang diberiNya mampu kita hadapi tapi kita yang mengada-ngada.

Saturday 14 September 2013

Sahabat

 
Kredit: Langit Ilahi
 
 
Rafiq menunggang motornya ke taman rekreasi yang 
berdekatan dengan rumahnya.
Dia ingin bertemu dengan Dayyan bagi meminjamkan notanya
yang tidak sempat disalin Dayyan ketika di kelas.
 
Motor diparkir.
Kelibat Dayyan dicari, dan rakannya itu dilihat 
sedang duduk termenung memandang ke tasik.
 
" Assalamualaikum."
" Wa'alaikumussalam." Jawab Dayyan.
" Ada apa kau nak jumpa aku?" Dingin Dayyan bertanya.
" Aku mengganggu kau ke?" tanya Rafiq pula.
" Tak mengganggu. Tapi sebab apa?"
 
Rafiq tersenyum. 
Buku nota disimpan disebalik jaket.
" Saja aku nak jumpa kau. Sejak dua menjak ni
aku tengok kau macam bermasalah dekat sekolah.
Share lah dengan aku brother."
 
Dayyan memandang Rafiq sekilas. 
Tersentuh mendengar kata-kata Rafiq yang hanya dianggap kawan biasa sahaja.
Tapi, walaupun sekadar kawan biasa,
lelaki inilah yang banyak membantunya di kala susah
berbanding mereka yang sudah dianggap teman rapat olehnya.
 
" Kau tak perlu tahulah. Kau bukan siapa-siapa pun."

Rafiq tersenyum. 
Ya, dia sedar dia bukan siapa-siapa dalam hidup temannya itu,
tapi dia ingin menjadi teman susah dan senang bersama temannya ini.
Tidak dapat menjadi teman di kala senang pun tak apa,
asalkan dia diberi peluang untuk ada ketika susah.

" Kau dah salin nota yang Ustaz Hanafi bagi?" tanya Rafiq.
" Belum."
" Kenapa belum lagi?" 
" Tiada siapa mahu bagi aku pinjam buku nota mereka."
 Keluh Dayyan kesal.
" Teman rapat kau tak bagi pinjam?" tanya Rafiq.

Dayyan memandang Rafiq apabila pertanyaan itu diutarakan.
Dengan lemah, dia menggeleng perlahan.
 
" Nah, pinjam buku aku ini." 
Rafiq menyerahkan buku notanya kepada Dayyan.
Teragak-agak temannya itu mahu sambut.
 
" Macam mana kau tahu.. aku perlukan nota ni?"
tanya Dayyan teragak-agak.
 
" Kau kan sahabat aku, pasti aku tahu."
Dayyan tersenyum. 
Itulah jawapan Rafiq setiap kali lelaki itu membantunya.
 
" Sudahlah, aku mahu pulang dulu. 
Takut ibu aku risau pula."
Rafiq bangun dari duduknya.
 
" Errr Rafiq, boleh aku tanya sesuatu?"
" Silakan."
 
Dayyan menarik nafas sedalamnya.
" Kau anggap aku ini siapa, Rafiq? Kawan atau bukan?"
 
" Aku tidak menganggap kau kawan."
Jawapan Rafiq membuatnya terdiam.
 
" Habistu, kau anggap aku apa?"
tanya Dayyan pelik.
 
" Aku anggap kau sahabat."
Jawapan Rafiq membuatkan Dayyan rasa dipermainkan. 
Baginya, kawan dan sahabat tiada bezanya.
Mereka akan hadir bila dia senang, tapi bila dia susah,
mereka tinggalkan dirinya terkontang-kanting.
Tapi Rafiq, dia tidak sebegitu.
 
" Kau jangan nak main-main dengan aku. Sahabat dengan kawan 
tiada bezanya. Dua-dua bukannya ada di kala aku susah." Balas Dayyan geram.
 
" Aku tak pernah mempermainkan kau. Mungkin bagi kau sahabat dan kawan itu
tiada bezanya kerana kau tidak cuba memahami erti sahabat. Dan mereka
yang kau sangka sahabat itu bukanlah sahabat kerana mereka hanyalah
teman ketawa."
 
Rafiq duduk kembali di kerusi batu yang disediakan.
" Kawan ini umum. Siapa-siapa boleh menjadi kawan kepada kita.
Kawan ini dia bukan sepenuhnya ada di sisi kita.
Dia hanya ada apabila kau senang. Hanya ada ketika untuk 
bergembira dengan kau.
Tapi sahabat ini berlainan. Sahabat ini limited edition
Ketika kau gembira, dia turut ada. Tapi,
kehadirannya kadang kala tidak disedari oleh kau.
Apabila kau gembira, dia turut berasa gembira. 
Dia tidak pernah mempunyai perasaan dengki atas kelebihan kau.
Malah, nama kau sentiasa disebut dalam doanya.
Dan apabila kau susah, dia dapat rasa kesusahan
yang dialami oleh kau.  
Dialah orang pertama yang akan hulurkan bantuan untuk kau,
walau dimana kau berada."

Dayyan merenung sepi wajah Rafiq.
Tersentap mendengar kata-kata itu.

" Kau terlalu baik Rafiq. Kau tak layak menjadi sahabatku." Kata Dayyan sebak.
Kenapa dia tidak menyedari kehadiran Rafiq yang banyak membantunya?
Kenapa?
 
" Jika begitu, izinkan aku menjadi pembantu kau di kala susah."
 
Dayyan menarik nafas panjang, cuba menghalau rasa terharu yang ada.
Dia teringat segala kesusahan yang dia alami,
dan yang pasti membantunya, hanyalah Rafiq.
Rafiq dan tetap Rafiq. Mereka yang dia sangkakan teman yang akan  
ada di kala susahnya 
langsung tidak menghulurkan bantuan.
 
" Aku balik dulu, Dayyan. Jangan lupa salin nota yang diberi." 
Rafiq bangun dari duduknya lalu menjauh dari situ.
 
Kelibat Rafiq yang menjauh dipandang sahaja.
Buku nota Rafiq di tangan, diselak sehelai demi sehelai.
Tiba-tiba, jatuh sehelai kertas yang terlipat kemas melalui buku nota itu.
 
Lipatan kertas itu dibuka perlahan. Di dalamnya,
terkandung isi daripada Rafiq.
 
' Assalamualaikum, Dayyan.
Aku tahu,
Pasti kau tidak jangkakan kehadiran kertas ini,
Maaf jika aku mencuri sedikit masa kau bagi 
menghayati ayat aku ni.

Aku tahu,
Aku bukan sesiapa.
Aku hanya lelaki yang dianggap teman biasa oleh kau,
Tidak lebih daripada itu.
Tapi,
Sudikah kau pandang aku sebagai sahabatmu?
Sudikah kau menerima setiap kehadiranku sebagai sahabat
yang membantumu di kala susah?
Aku tak pinta diri ini menjadi
penamanmu di kala senang,
Cuma aku pinta,
Izinkan tangan aku menenangkan kau di kala kau sedih,
Izinkan tanganku ini memaut kau di kala kau jatuh,
Izinkan telingaku ini menjadi pendengar segala masalahmu
Izinkan diriku ini menjadi penemanmu tidak kira apa waktu sekali pun.

Aku tahu,
Diri ini terlalu banyak kelemahannya,
Tidak layak untuk menjadi sahabat untuk dirimu,
Tapi untuk sekian kalinya,
Izinkan aku menjadi sahabatmu di kala susah,
Izinkan aku menjadi pemerhatimu di kala gembira,
Dan izinkan aku mengirimi doa untuk kesejahteraanmu.
 
Sampai di sini sahaja ayat yang mampu ku coretkan
buat kau, Dayyan,
Semoga kau bahagia dunia dan akhirat.
Selamat berjumpa di jannahNya kelak, Inshaa Allah. '
 
Air mata yang menitis di atas buku Rafiq,
dikesatnya.
Allah..
 
**********
 
Wahai pembaca yang dikasihi Allah ,
Jika kau ingin mencari sahabat,
Carilah dalam kalangan temanmu,
Yang sangat mengambil berat akan dirimu,
Yang sentiasa ada di kala susahmu,
Yang sentiasa menemani mu tatkala sedihmu,
Yang sentiasa tersenyum mendengar berita gembira
tentang dirimu.
 
 Carilah yang sentiasa mendoakanmu,
Carilah yang sentiasa mengingatkanmu akan kebaikan,
Kerana sahabat sebegini akan memandu kau ke jalan
yang diredhaiNya.
 
Wahai hamba-hamba Allah,
Sahabat sejati adalah orang yang sukar kita sedari kehadirannya,
Kerana di kala dirimu senang, 
Dirinya jarang berada di sisimu,
Tapi di kala dirimu susah, 
Dialah orang pertama yang menghulurkan tangannya
Orang yang pertama meminjamkan telinganya
dalam mendengar masalahmu.
 
Itulah sahabat,
Sahabat yang akan membawamu ke syurga dengan izinNya,
Sungguh beruntung jika kau memiliki sahabat seperti ini.