Friday 27 December 2013

Musafir




Termenung. Perkara yang sudah lama tidak aku lakukan. Jika dahulu, termenung itu adalah salah satu kegemaranku. Membayangkan yang indah tentang masa depan, merangka dan cuba mencapainya. Namun, rangkaan itu kembali bersepai apabila akal membisikkan bahawa bahaya jika terlalu berkhayal.

Tarikh: 27/12/2013
Waktu: Antara 1-2 pagi

Buat kali ke berapa yang aku sudah lupa, setelah menjawab pelbagai soalan di Ask.fm, aku bersandar di kepala katil. Memikirkan tentang diri. Memikirkan tentang tahun 2014 yang bakal aku hadapi. Tahun yang agak mencabar namun tidak secabar alam selepas kematian.

Dengan telinga yang bersumbat earphone, aku melayan diri dengan mendengar lagu " Bintang Syurga" oleh Unic dan Raqib Majid. Lagu itu membawa lamunan aku lebih jauh.

Jauh... jauh membayangkan diri sedang mengejar syurga Allah, membayangkan diri sedang bermusafir demi mencari sebuah ilmu, membayangkan diri berjalan seorang diri, melangkah dan terus melangkah...

Aku tersenyum diri. Dan air mataku mengalir buat kesekian kalinya kerana lagu itu... dan kerana sebuah angan yang entah bisa atau tidak untuk ku genggam.

Bermusafir itu impian aku. Berjalan merentasi segala perbukitan itu adalah impian aku. Dan nabi juga menyuruh umatnya untuk bermusafir. Sesungguhnya, berjalan itu luas pandangannya.

Tetapi, aku sedar bahawa musafir bukan setakat mengembara. Tetapi kita semua adalah musafir. Musafir yang mengembara di atas medan masa. 

Apabila memikirkan tentang bermusafir, secara tak langsung, bayangan wajah arwah Ahmad Ammar melintasi pemikiran aku. Lelaki yang tidak dikenali tetapi diketahui kerana kehebatannya di muka bumi ini. Allah.. indah sungguh hidup ini andai diabadikan sebenar-benarnya kerana Allah. Indah sungguh maut yang menjelma apabila segala persiapan telah tersedia. Indah.. hanya perlu melangkah ke syurga sahaja.

Dan kemudian, aku tidak sedar bila masanya aku terlelap. Sedar-sedar sahaja, sudah waktu subuh. Apa yang aku khayalkan bagaikan mimpi sahaja. Dan tidur aku, aku terasa singkat sekali. Barangkali kerana tidur lewat maka penghayatan dalam tidur pun terasa singkat. 

-Kayu Rapuh




No comments:

Post a Comment