Tuesday 25 March 2014

Renungan Sejenak: MH370

Tragedi 8 Mac merupakan titik permulaan sebuah tangisan,
Menangis dan menanti dalam kekeliruan dan kerisauan,
Doa-doa insan kerdil memohon dengan penuh pengharapan,
Tergantung pelbagai soalan di fikiran,
Adakah kematian atau kehidupan yang diputuskan Tuhan?

Bermacam-macam spekulasi dikeluarkan,
Masing-masing cuba mengeluarkan andaian berdasarkan kebijaksanaan,
Tapi mereka lupa akan kerinduan Tuhan,
Sebuah kerinduan yang menanti rintihan aku dan kalian,
Rintihan yang dirindui sekali oleh Tuhan,
Jadi, mengapa masih membisu tanpa sebarang tindakan?
Adakah kau mengharapkan perkhabaran baik jatuh dari bulan tanpa sebarang permohonan
ke atas Tuhan?

Sudah belasan hari penantian ahli keluarga akan sebuah kehilangan,
Dan akhirnya, satu perkhabaran yang sangat menyentap hati telah dikeluarkan,
Tiada yang terluah melainkan tangisan,
Dan tiada yang terluah melainkan pengharapan,
Masing-masing dihantui dengan persoalan,
Apakah mereka sudah terkubur di lautan?
Atau masih di alam kehidupan?
Setiap ahli keluarga mengharapkan berlakunya keajaiban,
Namun, bisahkah keajaiban itu berlaku andai tiada sebuah kesungguhan?
Kesungguhan dalam bermunajat itulah kunci kepada sebuah penemuan,
Maka, redakan hati dan kosongkan fikiran,
Bentanglah sejadah dan bertelekulah penuh kesungguhan,
Sesungguhnya, sebuah kesungguhan akan dibalas dengan sebuah kejayaan.

Bersama-samalah kita bermunajat kepada Tuhan,
Agar pencarian pesawat MH370 berjaya diselesaikan,
Andai mereka benar-benar terkubur di lautan,
Maka terpisahlah kita dan mereka di alam kehidupan,
Hentikanlah ratapan,
Dan perbanyakkanlah amalan,
Sesungguhnya, setiap kejadian itu pasti ada sebab yang telah ditulis Tuhan.

-Al-Fatihah-


Monday 24 March 2014

Cerminan Diri

Imej tubuhnya yang kemas tersarung jubah dipandangnya lama di cermin. Sekali sekala Qashid membetulkan kolar jubah miliknya itu.Dia tersenyum melihat ketampanan diri sendiri. Sikat dicapai lalu rambutnya disikat lembut.

" Tak hairanlah kalau ramai akhawat suka aku, aku ini tampan juga orangnya." Dia berbisik bangga. Senyuman kebanggaan menghiasi wajahnya.

" Kau memang tampan," puji satu suara asing.

Qashid tersentak. Terkejut apabila ditegur dengan suara asing itu. Seluruh biliknya diperhatikan.

" Perasaan aku saja," bisiknya perlahan.

" Tidak. Apa yang kau dengar memang benar. Aku yang berkata sedemikian. Dan hakikatnya, kau memang tampan. Sangat tampan," puji suara itu lagi. Kali ini, suara itu disertakan sekali dengan kemunculan lelaki berjubah hitam di sisinya.

Qashid terundur ke belakang apabila dia melihat pantulan cermin itu memantulkan seorang lelaki yang berwajah sepertinya sedang berdiri di sisinya.Bibir lelaki itu berwarna hitam pekat dan matanya bercelak hitam.

Qashid berkalih ke sisi, namun tiada siapa di sisinya. Wajah makhluk yang menyerupainya kelihatan buas sekali.

" Kau siapa?" tanya Qashid dengan kerutan yang jelas di dahi.

" Aku adalah cerminan diri kau yang sebenar," ujar makhluk itu sambil tersenyum sinis.

" Aku tidak faham," ujar Qashid keliru.

" Kau tidak perlu memahami apa-apa, Qashid. Yang penting, aku suka melihat diri kau. Cara kau berkata-kata, cara kau berdakwah dan setiap apa yang kau lakukan sangat memikat hati. Dan sewajibnya dipuji. Sungguh hebat," puji makhluk tersebut sesungguh hati. 

Qashid tersenyum bangga. Rasa bangga akan kelebihannya menguasai diri.

" Dan sememangnya aku hebat. Setiap apa yang aku lakukan, pasti mendapat pujian dan kebanggaan dari mereka semua. Dakwah aku begitu berkesan sekali, sehingga ramai akhwat mahu berubah kerana aku. Jika bukan kerana ketampanan dan seruan aku, pasti mereka tidak mahu berubah," ujar Qashid dengan bongkak sekali. Terbayang-bayang di wajahnya akan wajah akhawat yang meluahkan perasaan ke atasnya. Begitu hebat sekali penangannya.

Makhluk itu ketawa terbahak-bahak. Bagaikan ada yang begitu melucukan hatinya.
" Bagus, Qashid, bagus. Itu yang aku mahu dengar. Itu yang aku ingin sekali dengar. Hahahaha." Tawa makhluk itu sungguh membingitkan telinga.

" Tidak sia-sia aku memilih kau sebagai teman aku, Qashid. Kau memang layak menjadi teman aku," ujar makhluk tersebut.

" Apakah ada kelayakan tertentu untuk menjadi teman kau?" tanya Qashid yang mula kesan akan dusta yang ditunjukkan makhluk itu.

" Ya, sudah tentu ada. Sejak dari zaman Adam hingga ke zaman ini, sudah berjuta-juta teman aku peroleh termasuk kau!"

" Dan kau memang layak menjadi teman aku. Sikap riak, ujub dan takbur yang ada dalam diri kau
amat disukai aku! Kaulah yang akan menjadi teman setiaku di neraka, kelak. Hahaha!"

Qashid tersentak. Tangannya tiba-tiba menggigil. Sekarang, dia sudah jelas tentang siapa yang muncul di cermin ini. Kerana begitu ketakutan, dia terduduk di atas lantai.

" Dasar syaitan! Siapa yang mahu ke neraka? Siapa?! Aku hendak ke syurga! Neraka tu hanya untuk kau!
Aku tidak layak untuk ke neraka! Amalan baik yang aku lakukan pasti akan membantu aku ke syurga!
Kerja dakwah yang aku lakukan pasti akan membawaku ke syurga!"

HAHAHAHAHA!

Gelak tawa makhluk itu memenuhi segenap ruang bilik itu. Sungguh membingitkan.

" Riak! Takbur! Ujub! Sikap yang sungguh menakjubkan! Hahaha!" Tawa makhluk itu  berlarutan sehinggalah dia merenung tajam kepada Qashid.

" Amalan baik?! Dakwah?!" Dia tersenyum sinis. 

" Itu semua sudah terhapus dek riak, ujub dan takbur kau! Segala-galanya hangus terbakar tanpa bersisa! Semuanya sekali! Apa lagi yang tinggal untuk kau bawa ke timbangan amal? Apa?! Kosong!"

" Tidak! Aku tidak riak! Aku tidak ujub apatah lagi takbur!" balas Qashid dengan suara yang bergetar. Kipas yang berpusing tidak mampu menyejukkan dirinya yang sedang berpeluh kala ini.

" Kau pasti?" tanya makhluk itu sambil menderam perlahan.

" Pas..pasti," jawab Qashid ragu-ragu.

" Hebat," ujar makhluk itu dengan sinis.

Tiba-tiba, makhluk itu keluar dari cermin tersebut dalam bentuk angin berwarna hitam lalu menerpa masuk ke dalam tubuh Qashid. Qashid terundur beberapa tapak ke belakang akibat tujahan angin hitam itu.

" Apakah kau lupa apa yang kau lakukan selama ini?" Suara makhluk itu bergema di dalam kepalanya lalu membuatkan dia berasa pening. Badannya terhuyung-hayang akibat kepala yang terasa begitu berat seperti dibebani dengan batu besar.

" Apa yang telah aku lakukan?" tanyanya lemah sambil memegang kepalanya yang begitu berat sekali. Makhluk itu hanya menderam sahaja tanpa menjawab pertanyaannya. Tidak lama kemudian, makhluk itu tertawa besar diiringi dengan jeritan Qashid.

" Arhhhh!" Qashid menjerit kesakitan. Kesakitan yang ditanggungnya seolah-olah kepalanya itu dipijak-pijak.

Tidak lama kemudian, dia menggelupur kesakitan di lantai dengan mata terbelalak ke atas. Segala kesilapan yang pernah dilakukannya tanpa sedar bermain di kotak ingatannya.

**********************************************************************
Matanya memerhatikan sekumpulan akhawat yang sedang berbual berdekatan dengan pusat membeli belah. Kemudian, matanya tertancap pada seorang lelaki tua bertongkat yang cuba menuruni tangga yang terletak di bahagian luar pusat membeli belah. Tanpa berlengah, dia berjalan mendekati lelaki tua itu.

" Pakcik, mari saya bantu," ujar Qashid lalu mencapai tangan lelaki tua itu. Sempat dia menangkap pandangan sekumpulan akhawat itu yang sedang merenungnya kagum. Bukan setakat akhwat itu sahaja yang memandang, tapi hampir separuh yang ada di situ merenungnya kagum terutama sekali umat Islam. Tidak putus-putus pujian yang didengarinya.

Ketika dia dan lelaki tua itu berjalan melintasi sekumpulan akhawat itu, telinganya terdengar akan kata-kata pujian yang keluar daripada bibir seorang ukhti.

" Alhamdulillah, masih ada lagi insan seperti akhi tersebut," puji ukhti tersebut.

Dia tersenyum senang. Hatinya berjaya diusik dengan pujian tersebut lantas bercambahnya tunas-tunas riak.


Twitternya dibuka. Lalu tangan Qashid laju sahaja berlari di atas papan kekunci bagi menaip kata-kata dakwah yang diperolehnya dari sebuah blog.

" Apa gunanya hidup seribu tahun, tapi solat tak dilaksanakan? Bukan itu sahaja, bahkan dilewatkan". -Tweet

Usai menaip kata-kata itu, tangannya pantas menekan butang 'Notifications'. Terus terpampang di hadapan matanya, '85 others retweeted you'.

Qashid tersenyum bangga. Kemudian, terpampang pula di hadapan matanya, ' Kayu Rapuh and 20 others followed you.'

" Nak famous senang, nak dapat followers pun senang. Patutlah ramai dai'e asyik 24 jam men'tweet' je. Deorang pun nak kejar followers juga ke? Ke nak famous? Atau nak dipandang soleh dan solehah?" Dia berbisik sendirian.

" Ah, pedulikanlah. Hmm, ramai juga akhawat yang follow aku. Cantik-cantik dan solehah semuanya." Bisiknya lagi.

Tangannya laju menaip pelbagai kata dakwah sehingga azan Isyak berkumandang. Namun, tangan yang mengajak ke arah kebaikan itu langsung tidak beralih dari papan kekunci. Heh, 'dakwah' itu lebih penting daripada tiang agama rupanya.




" Assalamualaikum, akhi. Akhi ini ahli huffaz ke?" tanya seorang remaja lelaki kepada Qashid.

" Ya, benar. Kenapa?" tanya Qashid. Pada ketika itu, syaitan berlumba-lumba masuk bagi mencambahkan lagi riak yang sudah 'berpokok-pokok' di dalam hatinya.

" Ana ada dengar bacaan akhi di Youtube. MasyaAllah, sungguh merdu. Bergetar jiwa ana mendengarnya," puji remaja lelaki itu.

Qashid tersenyum kecil. Namun di hati, sudah kembang setaman diterbangi syaitan yang sedang menabur benih riak.

" Hadza min fadli rabbi," ujar Qashid sambil tersenyum. Kemudian, remaja itu meminta diri. Dia hanya memandang dengan hati yang sudah tertanam benih riak.

" Dah ramai orang yang puji aku mengenai bacaan aku dekat Youtube. Hmm.." bisik hatinya bangga sekali. Sedangkan tumbuhan-tumbuhan tertunduk sedih melihat seorang yang tertanam banyak ilmu agama semakin hitam hatinya.


Qashid berbual dengan tiga orang gadis yang merupakan rakan sekuliyahnya. Perbualan yang tidak membawa kepada hala tuju yang ditetapkan syarak. Usai sahaja perbualan mereka berempat, seorang pemuda yang tidak dikenalinya yang kebetulan terdengar akan perbualannya dan tiga orang gadis tersebut menegurnya.

" Assalamualaikum, akhi. Boleh ana bercakap sebentar dengan akhi?" tegur Najmi yang berseluar jeans dan bertopi jenama Adidas .

" Eh, boleh sahaja." Mereka berdua berjalan mendekati sebuah pokok yang jauh dari orang ramai.

" Ana hormat akhi dan sebegitu juga orang di sekeliling akhi. Cuma ana ingin nasihatkan, kawallah batasan antara seorang Adam dan Hawa. Hawa itu adalah fitnah terbesar bagi kaum Adam. Maka, tidak manis rasanya andai akhi dan gadis-gadis tersebut bergurau senda dan berbual akan hal yang tiada manfaatnya," nasihat Najmi dengan wajah yang tenang.

Qashid tersentak. Nasihat itu bagaikan minyak yang dijirus ke dalam api lalu membara. 

" Siapa nama enta?" tanya Qashid dengan muka yang serius.

" Najmi, akhi," balas Najmi.

" Saudara Najmi, semua orang melakukan kesilapan. Tapi,sebelum menasihati orang lain, lebih baik saudara cermin dulu diri saudara. Dengan berpakaian yang tidak melambangkan imej Muslim serta mengagung-agungkan pemain bola sepak (merujuk kepada baju Manchester United yang dipakai Najmi ), adakah layak saudara menasihati ana yang jauh lebih tinggi ilmunya? Dan dengar khabarnya, saudara ini baru pulang dari arus jahiliyyah. Jadi seeloknya, mantapkan dahulu akidah saudara dan barulah menegur ana dengan nasihat saudara. Assalamualaikum," ujar Qashid tegas lalu meminta diri. Wajah Najmi yang jelas terkedu itu membuatkan hatinya puas.

" Nak nasihatkan orang tengoklah diri kau dulu, brader," kutuk Qashid.


Aziz memerhatikan sahaja sahabatnya yang sedang membetulkan kolar jubah di hadapan cermin yang terletak di ruang makan. Fikirannya jauh menerawang memikirkan pelbagai kisah yang didengarinya mengenai sahabatnya itu.

" Hesy, handsome juga aku inikan, Aziz. No wonderlah ramai akhawat minat aku," ujar Qashid bangga sambil tersengih di hadapan cermin.

Aziz hanya tersenyum kecil. " Tak baik berbangga diri Qashid. Berbangga diri itu sifat Iblis," tegur Aziz demi kesejahteraan sahabatnya.

Qashid mencebik.

" Adess kau ni. Takkan puji diri sendiri sekali sekala pun tak boleh?" rungut Qashid.

" Sekali sekala itulah yang akan menghapuskan pahala yang sekali sekala tercatit," nasihat Aziz.

" Alah, aku puji diri sendiri untuk bahagiakan hati aku ni je. Bukan nak berbangga diri terlalu tinggi," balas Qashid bosan.

" Buat apa hati bahagia andai cara tidak diredhai Allah," ujar Aziz sambil menggeleng perlahan.

" Hesy, kau ni! Macam-macamlah. Itu salah, ini salah. Aku tahulah apa yang aku buat. Kau tak payah nak nasihatkan aku sangat," marah Qashid. Songkok dan kunci motor milik Aziz dicapai.

" Aku nak cakap sikit ni. Aku nak pinjam motor kau. Aku ada ceramah agama selepas solat Zohor ini. Surau dengan rumah kita tak jauh mana pun, kan? Aku rasa takda hal punyalah kau nak jalan kaki ke surau nanti," ujar Qashid sambil memakai songkok.

Tiada balasan daripada Aziz.

" Wei, kau dengar tak?" tanya Qashid sambil memerhatikan Aziz melalui cermin.

" Suka hati kaulah, Qashid. Asalkan kau bahagia," ujar Aziz lalu bangun menuju ke bilik. Malas hendak bertekak dengan sahabatnya itu. Benarlah kata orang, semakin tinggi ilmu agama yang kita ada, semakin teruji diri kita. Dan dia sedar, Qashid kini sedang menjalani 'ujian rohani' yang tidak boleh dipandang remeh.

" Merajuklah tu? Lantaklah Aziz. Kau nak merajuk ke nak marah ke, bukan ada kena mengena dengan aku. Suka sangat nasihatkan aku, padahal diri sendiri pun tak betul," kutuk Qashid.

************************************************************************

Dalam kesakitan dan keperitan, air matanya mengalir mengenang kesilapan yang teramat besar yang dilakukannya. Terbayang wajah sahabatnya yang sering dilukainya.

" Benarlah apa yang dikatakan, hanya apabila sakit sahaja seseorang itu akan mengingati kesilapan yang dilakukannya," ujar makhluk itu sinis. Suara makhluk itu bergema kuat di dalam kepalanya seolah-olah dia bertapa di bahagian kepalanya.

" Tapi kau dah terlambat, Qashid.. Masa tidak boleh diundur kembali," ujar makhluk itu lagi. Kali ini, kata-katanya disertakan sekali dengan tawa yang menambahkan lagi keperitan di kepala Qashid.

" Arhhhhhh!" Qashid menjerit kesakitan dengan badan yang menggelupur di lantai. Begitu seksa sekali keadaannya.


Aziz yang sedang tidur di dalam biliknya itu tersentak. Terpisat-pisat matanya apabila mendengar jeritan sahabatnya pada waktu sebegini. Jam tangan yang diletakkan bersebelahan dengan bantalnya dicapai. Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Dia bangun dari pembaringan sambil menggaru-garu kepalanya. Waktu sebegini bagus untuk bertahajjud kepada Allah.

" Kenapalah dengan si Qashid ini? Pagi-pagi menjerit. Mengigau ke apa?" rungutnya seorang diri sambil berjalan menuju ke bilik air.

" Arhhhhhhh!" Jeritan Qashid membantutkan pergerakannya.

" Biar betul budak ni mengigau? Takkanlah mengigau sampai jerit tak ingat dunia?" bisik seorang diri. Dia melangkah ke dalam bilik air lalu wuduk diambil. Setelah wuduk diambil, dia tidak lekas bersolat tetapi menuju ke bilik Qashid.


Nafasnya makin lemah. Keperitan yang mencengkam kepalanya sudah tidak tertahan. Tangannya semakin menekan kuat kepalanya. Rasa bagaikan hendak dihantuk sahaja kepalanya itu ke dinding.

" Jangan seksa aku sebegini..tolong..." rintih Qashid. Jubah yang dipakainya lencun dek peluh.

TUK!TUK!TUK!

" Qashid! Kau okay ke tidak? Cukup-cukuplah tu bermimpi. Ayuh bangun kita solat tahajjud bersama-sama," panggil Aziz yang berada di luar biliknya.

" Aziz... Aziz...Aziz.." panggil Qashid lemah.

Seketika kemudian, tombol pintu dipulas dari luar lalu terjengul kepala Aziz disebalik pintu.

" Astaghfirullahalazim! Qashid!" Aziz menerpa ke arah Qashid yang sedang nazak itu. Kepala sahabatnya itu dipangku dengan air mata yang berlinangan. Sebak dan terkejut melihat keadaan sahabatnya.

" Aziz... ampunkan segala dosa aku. Aku bukan sahabat yang baik... bukan hamba Allah yang baik.." bisik Qashid dengan nafas yang tertahan-tahan. Tangan Aziz dipautnya lemah. Air matanya mengalir. Hatinya berbisik nama Allah tapi apakan daya, dia sudah terlambat.

" Kau tiada dosa dengan aku, Qashid.. Ingat Allah, Qashid. Ingat Allah..." bisik Aziz di telinga Qashid dengan penuh sebak.

" Laailaahaillallah... Laailaahaillallah..." bisik Aziz lagi. 

Tiada balasan daripada Qashid. Hanya bibir dan tangannya sahaja yang bergetar. Matanya sudah memperlihatkan bahagian putih sahaja.

Angin hitam yang keluar melalui ibu jari kaki Qashid membuatkan Aziz terkejut. Dia beristighfar panjang.

" Qashid, mengucap Qashid. Mengucap.." bisik Aziz lagi. Air matanya sudah mengalir deras. Terkejut dengan apa yang dilihatnya ini malah lebih mengejutkan apabila melihat angin hitam yang keluar dari ibu jari kaki sahabatnya itu. Namun, semua itu sudah terlambat. Roh telah pun pergi meninggalkan jasad Qashid yang kaku itu. Mata Qashid ditutupnya lembut bersama tangisan yang tidak dapat ditahan.

" Andai syurga menjadi milik kita, izinkan aku memimpin tangan kau ke syurga, Qashid," bisik Aziz sebak.



Friday 21 March 2014

Dakwahkah aku?

Situasi 1( Riak)

Si fulan: " Alhamdulillah, berjaya hafal satu Al-Quran." -Tweet

Ali replied: @sifulan Subhanallah, tahniah.
Tini replied: @sifulan Hebatnya ^^
Kazim replied: @sifulan Alhamdulillah, inilah contoh anak muda zaman sekarang.

Si fulan: *tersengih-sengih depan laptop*

Kadang kala, dalam diam, dalam kita tidak sedar, telah timbulnya rasa riak di dalam
hati apabila segala kebaikan kita mendapat pujian daripada orang lain. 
Sesungguhnya riak itu halus lagi tajam bahananya berbanding pisau yang tajam itu.
Pisau apabila melukakan, pasti lukanya zahir tetapi lukanya hati akibat sebuah riak tidak 
dapat dilihat secara zahir.


Situasi 2 (Hipokrit)

Si fulan: "Tak baik melewat-lewatkan solat. Sesungguhnya, Allah kasih pada mereka yang solat 
di awal waktu." -Tweet

*Azan berkumandang*

Si fulan: *tengok jam* Baru pukul 2. Nanti-nantilah solat.

Perkara biasa yang saya sering lihat di mana-mana. Di twitter, kencang sekali melarang
itu ini. Itu haram, ini haram. Namun, apabila sign out saja twitter,
imej alim atau warak tercabut terus. Jadilah si dia manusia bertalam dua muka.
Ingatlah, berbuat amal bukan di twitter, ask fm, blog atau fb sahaja, tetapi di mana sahaja


kita berada.


Situasi 3 (Bajet Alim)

*Terserempak dengan sekumpulah akhawat yang bertudung labuh dan berhijab* Si fulan menundukkan pandangan.

*Apabila bersama rakan perempuan di dalam kelas yang tidak berapa muslimah*
Si fulan: Comellah kau hari ni, Siti. 
 atau

Si fulan: *mengusik rakan-rakan perempuan di dalam kelas*

Jika anda menghormati wanita yang tertutup perlakuannya dan pemakaiannya,
seharusnya anda juga perlu bersikap sedemikian dengan wanita yang lain juga. 
Semua wanita perlu dihormati bukan yang solehah sahaja. Malah, mereka yang tidak berapa
muslimah itulah perlu dijaga dan diajak bersama ke syurga.

Situasi 4(Berpurdah)

Si fulanah: *selfie*

*post on fb*

Komen: Si fulan- Subhanallah, indahnya ciptaan Tuhan.
Si fulan 2- Bidadari syurga.
Si fulan 3- Nice pic. :)

Saya tidak mahu berkata lebih. Cukuplah untuk saya katakan, siapa yang tergigit cili,
dialah yang terasa pedasnya.

Situasi 5 (Keikhlasan)

Si fulanah sedang membuat kek dan muffins untuk diberikan kepada anak-anak yatim.
Lalu cake dan muffins yang baru siap itu dirakam lalu dipost ke fb.

Komen: Siti- Wah, banyaknya kek dan muffins. Ada kenduri ke, ukhti?
Si fulanah- Kek dan muffins ana buat untuk anak-anak yatim. :)
Katy- Wah, bagusnya ukhti ni. :)
Si fulanah- Syukran. Hadza min fadli rabbi :)
Ahmad- Subhanallah. Mulia sungguh hati ukhti :)
Si fulanah- Alhamdulillah, ada rezeki lebih kita berkongsi bersama-sama mereka yang memerlukan.

*hakikat sebenar- di hadapan laptop*

Si fulanah: Hehehe *kembang-kempis hidung menahan rasa bangga*

Benar, keikhlasan itu urusan kita dengan Allah. Tetapi sebagai pemilik hati masing-masing,
Masing-masing pasti tahu di mana terletaknya keikhlasan masing-masing.
Adakah keikhlasan itu terletak bersama Tuhan, atau terletak bersama pujian manusia. 
Itu hanya kita dan Allah yang tahu.


Sebenarnya, apa yang hendak saya sentuh adalah berkaitan niat para daie. 

Wahai daie,
Usahlah kau jadikan media sosial sebagai pentas lakonan para 'munafiq',
Usahlah kau jadikan media sosial sebagai pancing untuk memancing pujian,
Usahlah kau jadikan media sosial sebagai jalan untuk dipandang mulia,
Sedarlah, kemuliaan yang diiktiraf manusia belum tentu diiktiraf Allah,
Boleh jadi,
Kemuliaan itulah yang memberi keluasan bagi jalan untuk ke neraka. 

Segunung kasih dari,
Kayu Rapuh.