Friday 27 September 2013

Berubahkah aku?

   
       Nama aku Kayu. Ya, Kayu. Meskipun ramai yang menanyakan, kenapa harus 'kayu' yang menjadi pilihanku sebagai nama samaranku sedangkan ianya amat tidak sesuai untukku kerana kayu itu mempunyai keunikannya tersendiri. Biasanya kita dengar keunikan itu sebagai kelebihan. Tetapi dalam kisahku ini, kayu ini mempunyai keunikan iaitu kekurangannya sendiri. Namun, kekurangan yang ia ada, jangan disangka tiada kelebihannya.

       Kayu ini rapuh, mudah patah dan mudah reput. Dan itulah aku. Itulah Iman aku. Iman aku ini rapuh, dan tidak bisa menjadi sekuat dan segah besi. Namun, walaupun ramai yang cuba menjatuhkan aku kerana menganggap aku ini hipokrit dalam penghijrahanku, aku tetap berpegang kepada Imanku ini walaupun ianya hanya sebesar biji sawi yang ada surut serta pasangnya.

     Dulu, jika kau mahu tahu, aku jahil orangnya. Jahil akan erti dunia yang sebenar. Di luar, mereka melihatku seperti insan biasa yang tidak bermasalah malah ada yang mengatakan bahawa hidupku ini happy-go-lucky. Ya, hidup aku memang bahagia tetapi kegembiraanku berlandaskan penderitaan orang lain. Aku tidak pernah mengambil pelajaran terhadap apa yang tertimpa ke atasku malah aku memarahi takdir dan mempersoalkan takdir itu. Aku asyik bertanya, kenapa, kenapa dan terus-terusan bertanya kenapa sedangkan itu semua dugaan buat aku. Mereka melihat aku seperti insan biasa yang tidak terlepas dari masalah, tapi masalahku bukan berkaitan masalah dunia kerana aku sukar untuk mengalami masalah dunia. Masalahku selalu berkait akan Iman. Iman yang pada tika itu, aku tidak mahu kehadirannya. Malah, aku bangga dengan setiap tindakan aku padahal itu semua alat pembinasa untuk aku.
 
       Sampailah suatu ketika, aku rasa hidup aku ini sungguh bermasalah. Aku cari masalah itu. Aku cari sepuas-puasnya namun tidak ku jumpa. Aneh. Kerana tiap malam aku terfikir akan masalah yang tidak ku tahu apa. Masalah yang bukan berkaitan dunia tapi berkaitan rohani. Berkaitan batinku. Aku rasa batin aku terseksa sekali tetapi aku tidak tahu puncanya.
 
       Aku minta pelbagai kata-kata motivasi daripada mereka yang profesional untuk menyelesaikan masalah aku, tapi tiada seorang pun mampu rungkaikan masalah itu malah masalah itu makin lama makin teruk. Aku rasa dunia aku makin kelam sehinggalah aku mengenali seseorang itu. Seseorang yang tidak ku tahu siapa dia, tapi si dia yang membawa perubahan itu kepada aku. Si dia yang memberi inspirasi kepada aku untuk berubah. Si dia yang menjadi orang pertama yang menyuruh aku muhasabah diri. Si dia yang menyuruh aku mencari balik kesalahan yang pernah ku buat. Dan dialah yang meminta aku menyelesaikan masalah itu di tikar sejadah. Dummm! Pada ketika itu, aku rasa langit macam runtuh. Dan ketika itu aku terfikir, berapa kali aku mengadu kepada Allah? Berapa kali? Orang solat, aku solat. Tapi solatku tidak terisi dengan penghayatan kerana fikiran ku asyik terhadap duniawi. Allah...
 
        Ketika aku dalam mendekatkan diri kepada Allah, tiba-tiba ada rasa sebak mengalir. Aku rasa dada aku sempit sangat tetapi beban masalah yang bersarang di kepala tika dahulu terasa semakin ringan. Aku cuba halau rasa sebak itu tetapi tak mampu... dan aku menangis seorang diri. Menangisi diri yang kembali semula mendekatkan diri kepadaNya tetapi.. aku tertanya, apakah pendekatan ini akan terus berlarutan atau akan terhenti  apabila semuanya selesai? Apakah aku benar-benar berubah?

       Persoalan itu terus bermain dalam kepalaku. Setiap kali aku melakukan sesuatu perkara yang lagha, akan ada satu soalan yang menerjah fikiran. " Berubahkah aku ini sedangkan dulu aku sentiasa mengharapkan perubahan?" Ya, inilah soalan tersebut. Setiap perkara yang lagha yang aku lakukan, pasti soalan ini muncul dahulu. Dan soalan ini terhasil daripada Imanku. Ya, itulah suara imanku. Dia cuba menghalang pekerjaan sia-siaku dengan mengirimkan persoalan itu tetapi adakalanya aku tidak pedulikannya. Dan aku terus melakukan perkara yang lagha itu tanpa memikirkan diri ini dalam perubahan ke arah mukmin yang hebat. Dan sekali lagi, berubahkah aku? Huh, berubah taik kucing.

        Dekat twitter, wah, diri inilah yang kencang berkata. Diri inilah yang hebat berkata tapi apabila di luar, senyap macam tikus. Hina. Tiada dakwah. Tiada usaha untuk mencegah kemungkaran. Yang ada hanyalah, suara hati yang membenci kemungkaran tapi dalam masa yang sama, kemungkaran turut dilakukan. Adakah itu perubahan yang aku inginkan setelah bangkit dari katil jahiliyyah? Jawapannya tidak.

       Aku jatuh berkali-kali. Tetapi dalam setiap jatuhku, aku mampu kira dengan jari berapa kali aku bangun. Aku terus jatuh ke tanah tanpa bangun hanya kerana sebuah dugaan kecil. Allah...Aku juga perlukan tarbiyyah. Aku juga perlukan nasihat. Buat masa sekarang, cuba kalian pula yang berikan aku kata-kata semangat daripada meminta aku kata-kata semangat? Aku bukan menolak untuk memberi kata-kata semangat tetapi aku juga sedang futur, dan sudah tentu kata-kata semangat itu bukan datang dari hati. Maafkan aku.. maaf...


Friday 20 September 2013

Sakit

 ASSALAMUALAIKUM

Google


*Phuhhhh* Hesy, banyak sangat habuk dekat blog ni. Ehem, salam sejahtera warga pembaca. Sudah sekian lama aku tak curahkan apa-apa ilmu dekat blog ini. *Baru 5 hari je pun* Dengan itu, maaflah kerana membiarkan blog ini sepi untuk seketika. Bukan tidak sudi atau kering idea untuk mengupdate apa-apa isi tapi kesihatan tubuh mengekang tangan ni daripada menaip.  Dekat dalam fikiran ni, berpusu-pusu ilmu Allah masuk tapi tersekat setiap kali nak curahkan dekat blog. Bukan apa, kepala ni berat sangat, tak mampu nak angkat. Sekarang ini pun, masih ada rasa sakitnya. Suhu badan pun kejap naik kejap turun. Semalam demam-demam aku pergi melantak maggi, okay tu memang cari nahaslah kan namanya. Memang terbakar tekak aku sebab kari dia tu pedas lepas tu berlawan pula dengan tekak aku yang luka ni. Memang bagaikan buku bertemu ruas lah. Memang terbaik!

 Kali ini aku rasa, demam yang aku alami lain macam sangat. Jumpa doktor, mana tahu kena demam denggi ke apa. Sekali rupa-rupanya abang ipaq aku dekat Putrajaya dah kena demam denggi dulu. Allah.. Walau apapun, aku anggap ini sebagai kifarah dosa dan ujian untuk aku. Alhamdulillah, aku tak kena demam denggi. Nyamuk mana yang nak hisap darah orang macam aku ni. Nyamuk sasau je hisap. Ehh.

Okay, stop untuk mukadimah di atas. Kali ini, walaupun sakit-sakit, dengan suhu badan yang masih tinggi, aku menaip juga dekat blog ni. Bukan apa, kesian tengok blog ni. Dekat ask fm pun ada anon yang bertanya bila aku nak buat post. Aku tak berapa mampu nak curahkan seberapa banyak ilmu Allah yang berguna buat sementara ini sebab kepala aku ni pun entah betul entah tidak, sebab pening teramat sangat.

Tapi tak apa, aku selitkan sedikit hikmah disebalik sakit.

HIKMAH

-Sakit ni merupakan tanda cinta Allah kepada kita. Kenapa pula tanda cinta? Sebab melalui sakit, 
kita akan berhenti mencari nikmat duniawi dan beristirehat serta mendekatkan diri kepada Allah.
Tapi ada juga orang yang sakit-sakit tetap nak kejar nikmat dunia. Usah begitu, berehat sahajalah.
Jangan terlalu sombong.

- Sakit merupakan pengajaran. Bila kita dah sakit, baru kita rasa nak hargai waktu sihat kita.
Dulu, doktor kata jangan minum teh tarik banyak sangat nanti kencing manis. 
Tapi minum juga. Dah kena kencing manis, baru nak menyesal.

- Sakit merupakan teguran atas kesombongan manusia. Tatkala sihat, manusia 
kadang-kadang lupa yang diri mereka lemah. Mereka lupa segala kekuatan itu
bergantung kepada Allah. Mereka sangka mereka sudah cukup berpengaruh, sudah cukup 
kuat dan tidak perlukan bantuan siapa-siapa. Tapi apabila sakit, tiada siapa yang dapat membantu
mereka menyembuhkan kesakitan itu melainkan dengan kuasa Allah. Ketika itulah, baru
Allah dicarinya.

- Sakit merupakan ruang untuk bertaubat dan menghapuskan dosa.
Bila kita sakit, Allah tarik segala nikmat yang ada pada kita tapi kita jangan lupa,
nikmat yang ditarik adalah untuk kita mencari Allah. Allah bukan menarik nikmat itu
sesuka hati tapi Allah tariknya bersama dosa-dosa kita. Apabila kita sihat, nikmat itu
dikembalikan semula tetapi dosa-dosa itu Allah tidak kembalikan kepada kita.

Allah Ar -Rahman Ar -Rahim

" Dah sakit tu jangan nak tambah dosa lagi." -Dia

 

Sunday 15 September 2013

Malu




" Babyyy, suapkan ayang ayam goreng tu," kata si gadis dengan nada suara yang urghhh.
 " Aeroplane's coming. Cepat ayang nganga mulut tu." Si balak menyuap manja 
secubit ayam goreng KFC ke dalam mulut ceweknya.
" Hmmmm, sedapnyaaaaaa."

Adam memandang meluat pasangan kekasih yang duduk 
di hadapan meja yang didudukinya. Rasa sebu perutnya melihat adegan 
tidak bermoral itu.

" Woi, angah. Jangan tenung sampai macam tu sekali," tegur Dayyan
yang turut memerhatikan pasangan kekasih di hadapan mereka.
Ayam goreng di pinggannya diusik beberapa kali sahaja.
Hilang selera nak makan bila tengok drama murahan di depan mata.

" Peh! Serius, meluat angah tengok aksi mereka tu,"
kata Adam sambil membuat muka nak termuntah.

" Kalau angah baling meja ni dekat depa berdua, halal tak?"
Dayyan tersenyum kecil melihat aksi adiknya.

" Niat tak menghalalkan cara, ngah."
" Meluatlah along. Angah nak makan pun terus mati selera.
Yang perempuan tu pun satu, tak reti malu ke bertepuk tampar dengan balak 
dia tu. Kalau handsome takpe lah. Ini muka kalah tongkang pecah belakang
rumah kita tu.."
" Ehem! Mengutuk tu berlapik, angah. Kalau ya pun
sakit hati, jangan kutuk ciptaan Tuhan." Serius.

" Sorry.." gumam Adam perlahan.

" So, berdasarkan apa yang angah tengok depan mata angah ni,
cuba angah bagi along punca mereka jadi macam tu."
 " Kurang didikan agama, maybe?" jawab Adam.
" Perhaps. Lain?"
" Lupa Tuhan?"
" Betul. Lupa Tuhan dah dikira secara keseluruhan. Bagi yang tepat dengan
situasi sekarang ni. Cuba tengok mereka berdua itu, apa punca sebenar mereka 
boleh jadi macam tu."
 " Ermmmm... I got no idea," jawab Adam dengan mata 
masih merenung pasangan kekasih di hadapan mereka.

" Malu. Mereka sudah hilang sifat malu," kata Dayyan.
Dia menundukkan pandangannya tatkala matanya bersabung pandang
dengan si cewek yang duduk di hadapan mereka.

" Malu? Apa kena mengena pula dengan malu?"
tanya Adam. Matanya dialihkan memandang abangnya.

" Cabang iman ada berapa Adam?" soal Dayyan, menguji adiknya.
" Ada 60 cabang."

" Okey, cabang Iman ada 60. And as we all know, sifat malu adalah
salah satu dari cabang iman. Jika seseorang itu mempunyai sifat malu,
dia masih mempunyai iman kerana iman dan malu bersifat seiring dalam kehidupan seharian
kita. Seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Abdullah ibn Umar, 
Rasulullah bersabda, " Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan 
maka, kedua-duanya akan hilang." So, dekat sini,
kita dah nampak dengan jelas peranan malu dalam kehidupan kita.
Tanpa sifat malu, tiada iman dalam diri seseorang itu."

" Okay. So, tak mustahillah kan zina yang terjadi dekat muka bumi ni
hasil daripada tiada sifat malu?"

" Yup. Bukan tak mustahil, tapi memang benar. Dekat Malaysia ni,
banyak contoh kita boleh ambil. Contohnya, perempuan yang tidak menutup
aurat, perempuan yang tanpa segan silu disentuh oleh ajnabi, semua itu tidak akan
terjadi jika sifat malu masih ada. Dan semua itu penyumbang ke arah zina."

Adam mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar penjelasan abangnya.

" Sebenarnya Adam, konsep sifat malu ni mudah sahaja.
Malu ni bukan bermula dengan malu terhadap masyarakat.
Tetapi bermula dengan malu terhadap Allah
Malu kepada Allah ni means malu untuk melanggar segala perintah Allah.
Tapi zaman sekarang, sifat malu ni dah terbalik. Mereka malu nak ikut perintah Allah
kerana hidup mereka bertuhankan nafsu.
 Jika kita malu kepada Allah,
maka kita terpelihara dari segala kemaksiatan dekat muka bumi ini kerana sifat ini
membawa kebaikan. Dalam hadis riwayat Bukhari,
Rasulullah bersabda, 'Malu itu tidak akan menyebabkan perkara lain kecuali untuk kebaikan'.
Mudah sahaja kan? Selagi sifat malu kepada Allah ada, selagi itu harapan untuk ke syurga ada. "

Adam mengangguk perlahan. Tiba-tiba ada satu soalan
menerpa ke mindanya. 

" Abang, kawan angah ada kata. Seorang suami yang membiarkan
aurat isterinya itu terpamer di khalayak ramai merupakan suami yang tiada
sifat malu. Pencerahan?"

" Betul. Isteri itu sepatutnya dilindungi. Bukan dilindungi dari segi fizikal sahaja,
tapi dari aibnya juga hendaklah dilindungi. Seorang isteri ini merupakan wanita
yang membawa maruah suami dia. Kalau si suami membiarkan isterinya
mempamerkan aurat tanpa sekatan, bermakna dia dayus dan yang pasti,
sifat malunya sudah hilang kerana dia tidak malu kepada Allah dengan
membiarkan isterinya sebegitu."

Dayyan mencapai cawan kertas berisi milo lalu disedutnya seketika.

" Ada satu hadis riwayat Malik bin Uhamir. Malik mendengar Rasulullah bersabda,
' Allah tidak akan menerima sebarang amalan atau ketaatan seseorang
 yang tiada sifat malu dan angkuh'. Lalu para sahabat bertanya,
' Siapakah orangnya yang angkuh dan tidak mempunyai malu ini ya Rasulullah?' 
Rasulullah menjawab, 
'Seorang lelaki yang membiarkan isterinya melayani lelaki bukan muhrimnya.'
Maksud melayani lelaki bukan muhrim disini adalah isteri yang mempamerkan
auratnya kepada lelaki yang ajnabi. Jadi, melalui hadis ini,
lelaki yang membiarkan isterinya mempamerkan auratnya bukan sahaja
digelar dayus, malah mereka adalah angkuh dan tiada sifat malu."

" Lelaki yang sudah menyentuh wanita yang bukan isterinya,
tidak layak dijadikan suami kerana sebelum bergelar suami,
dia sudah tidak mampu melindungi wanita di sekelilingnya yang sepatutnya
dibimbing bukan dijadikan sebagai alat permainan nafsu mereka. Oleh itu,
jika hendak selamat, kaum Hawa dan Adam perlu bekerjasama bukan 
menuding jari akan kesalahan yang berlaku. Contohnya macam kes zina.
Masyarakat akan menuding jari dekat kaum Hawa dengan mengatakan
mereka tidak pandai menjaga diri. Padahal, kes begini,
dua-duanya bersalah. Dua-duanya tiada sifat malu kepada Allah.
Dalam hadis riwayat  Anas bin Malik, Rasulullah bersabda,
' Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, 
dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.' "

" Okay, faham. Kesimpulannya, tiada sifat malu, tiada iman."

" Yup, betul" balas Dayyan.

Lemah




Aku penat,
Aku lelah,
Aku dah tak kuat,
Iman aku sudah menipis,
Kemarahan aku semakin memuncak,
Jiwa aku semakin sakit,
Hati aku semakin parah,
Kesabaran aku semakin hilang.

Ya Allah,
Ujian yang kau timpakan,
Tidaklah sehebat dan sekuat mana,
Tapi,
Kenapa kesabaran aku tidak mampu mengawal kemarahan ku?
Kenapa benciku telah menguasai diriku?
Kenapa imanku menjadi lemah?
Apa silapku Ya Allah?
 
Apakah selama ini aku terlalu leka,
Sehinggakan Kau timpakan ujian ini
untuk mengembalikan aku kepadaMu?
Aku lalai Ya Allah,
Aku leka dengan duniawi,
Aku lalai sebagai seorang anak,
Aku lalai sebagai seorang hamba,
Aku lalai sebagai ummat Rasulullah.
 
Ampunkan aku,
Ampunkan aku kerana menjadi insan yang tak reti bersyukur,
Aku tahu,
Kau timpakan ujian ini untuk menguji diriku,
Tapi,
Aku gagal menempuhinya.
 
Sepatutnya aku membimbing dia,
Bukan menjawabnya dengan kasar,
Allah....
Allah....
Lindungilah segala tingkahku ya Allah,
Aku lemah,
Aku rapuh.
 
 *********
Kadang kala, ujian yang Allah berikan tidaklah sekuat mana. Tapi, oleh kerana iman tipis, ujian yang kecil pon terasa berat. Belum lagi ujian yang berat. Setiap ujian yang Allah berikan tanda kasihNya kepada kita. Tanda dia mahu kita kembali fokus kepada tanggungjawab kita yang sebenar. Tapi kita yang salah faham. Kita kata Allah tak adil. Padahal, kita yang tak adil. 

Setiap ujian yang Allah berikan mampu dihadapi oleh kita semua kerana ujian yang diberikan berdasarkan kemampuan kita. So, tak ada alasan untuk putus asa. Sebab tu Allah murka jika hambaNya putus asa sebab ujian yang diberiNya mampu kita hadapi tapi kita yang mengada-ngada.

Saturday 14 September 2013

Sahabat

 
Kredit: Langit Ilahi
 
 
Rafiq menunggang motornya ke taman rekreasi yang 
berdekatan dengan rumahnya.
Dia ingin bertemu dengan Dayyan bagi meminjamkan notanya
yang tidak sempat disalin Dayyan ketika di kelas.
 
Motor diparkir.
Kelibat Dayyan dicari, dan rakannya itu dilihat 
sedang duduk termenung memandang ke tasik.
 
" Assalamualaikum."
" Wa'alaikumussalam." Jawab Dayyan.
" Ada apa kau nak jumpa aku?" Dingin Dayyan bertanya.
" Aku mengganggu kau ke?" tanya Rafiq pula.
" Tak mengganggu. Tapi sebab apa?"
 
Rafiq tersenyum. 
Buku nota disimpan disebalik jaket.
" Saja aku nak jumpa kau. Sejak dua menjak ni
aku tengok kau macam bermasalah dekat sekolah.
Share lah dengan aku brother."
 
Dayyan memandang Rafiq sekilas. 
Tersentuh mendengar kata-kata Rafiq yang hanya dianggap kawan biasa sahaja.
Tapi, walaupun sekadar kawan biasa,
lelaki inilah yang banyak membantunya di kala susah
berbanding mereka yang sudah dianggap teman rapat olehnya.
 
" Kau tak perlu tahulah. Kau bukan siapa-siapa pun."

Rafiq tersenyum. 
Ya, dia sedar dia bukan siapa-siapa dalam hidup temannya itu,
tapi dia ingin menjadi teman susah dan senang bersama temannya ini.
Tidak dapat menjadi teman di kala senang pun tak apa,
asalkan dia diberi peluang untuk ada ketika susah.

" Kau dah salin nota yang Ustaz Hanafi bagi?" tanya Rafiq.
" Belum."
" Kenapa belum lagi?" 
" Tiada siapa mahu bagi aku pinjam buku nota mereka."
 Keluh Dayyan kesal.
" Teman rapat kau tak bagi pinjam?" tanya Rafiq.

Dayyan memandang Rafiq apabila pertanyaan itu diutarakan.
Dengan lemah, dia menggeleng perlahan.
 
" Nah, pinjam buku aku ini." 
Rafiq menyerahkan buku notanya kepada Dayyan.
Teragak-agak temannya itu mahu sambut.
 
" Macam mana kau tahu.. aku perlukan nota ni?"
tanya Dayyan teragak-agak.
 
" Kau kan sahabat aku, pasti aku tahu."
Dayyan tersenyum. 
Itulah jawapan Rafiq setiap kali lelaki itu membantunya.
 
" Sudahlah, aku mahu pulang dulu. 
Takut ibu aku risau pula."
Rafiq bangun dari duduknya.
 
" Errr Rafiq, boleh aku tanya sesuatu?"
" Silakan."
 
Dayyan menarik nafas sedalamnya.
" Kau anggap aku ini siapa, Rafiq? Kawan atau bukan?"
 
" Aku tidak menganggap kau kawan."
Jawapan Rafiq membuatnya terdiam.
 
" Habistu, kau anggap aku apa?"
tanya Dayyan pelik.
 
" Aku anggap kau sahabat."
Jawapan Rafiq membuatkan Dayyan rasa dipermainkan. 
Baginya, kawan dan sahabat tiada bezanya.
Mereka akan hadir bila dia senang, tapi bila dia susah,
mereka tinggalkan dirinya terkontang-kanting.
Tapi Rafiq, dia tidak sebegitu.
 
" Kau jangan nak main-main dengan aku. Sahabat dengan kawan 
tiada bezanya. Dua-dua bukannya ada di kala aku susah." Balas Dayyan geram.
 
" Aku tak pernah mempermainkan kau. Mungkin bagi kau sahabat dan kawan itu
tiada bezanya kerana kau tidak cuba memahami erti sahabat. Dan mereka
yang kau sangka sahabat itu bukanlah sahabat kerana mereka hanyalah
teman ketawa."
 
Rafiq duduk kembali di kerusi batu yang disediakan.
" Kawan ini umum. Siapa-siapa boleh menjadi kawan kepada kita.
Kawan ini dia bukan sepenuhnya ada di sisi kita.
Dia hanya ada apabila kau senang. Hanya ada ketika untuk 
bergembira dengan kau.
Tapi sahabat ini berlainan. Sahabat ini limited edition
Ketika kau gembira, dia turut ada. Tapi,
kehadirannya kadang kala tidak disedari oleh kau.
Apabila kau gembira, dia turut berasa gembira. 
Dia tidak pernah mempunyai perasaan dengki atas kelebihan kau.
Malah, nama kau sentiasa disebut dalam doanya.
Dan apabila kau susah, dia dapat rasa kesusahan
yang dialami oleh kau.  
Dialah orang pertama yang akan hulurkan bantuan untuk kau,
walau dimana kau berada."

Dayyan merenung sepi wajah Rafiq.
Tersentap mendengar kata-kata itu.

" Kau terlalu baik Rafiq. Kau tak layak menjadi sahabatku." Kata Dayyan sebak.
Kenapa dia tidak menyedari kehadiran Rafiq yang banyak membantunya?
Kenapa?
 
" Jika begitu, izinkan aku menjadi pembantu kau di kala susah."
 
Dayyan menarik nafas panjang, cuba menghalau rasa terharu yang ada.
Dia teringat segala kesusahan yang dia alami,
dan yang pasti membantunya, hanyalah Rafiq.
Rafiq dan tetap Rafiq. Mereka yang dia sangkakan teman yang akan  
ada di kala susahnya 
langsung tidak menghulurkan bantuan.
 
" Aku balik dulu, Dayyan. Jangan lupa salin nota yang diberi." 
Rafiq bangun dari duduknya lalu menjauh dari situ.
 
Kelibat Rafiq yang menjauh dipandang sahaja.
Buku nota Rafiq di tangan, diselak sehelai demi sehelai.
Tiba-tiba, jatuh sehelai kertas yang terlipat kemas melalui buku nota itu.
 
Lipatan kertas itu dibuka perlahan. Di dalamnya,
terkandung isi daripada Rafiq.
 
' Assalamualaikum, Dayyan.
Aku tahu,
Pasti kau tidak jangkakan kehadiran kertas ini,
Maaf jika aku mencuri sedikit masa kau bagi 
menghayati ayat aku ni.

Aku tahu,
Aku bukan sesiapa.
Aku hanya lelaki yang dianggap teman biasa oleh kau,
Tidak lebih daripada itu.
Tapi,
Sudikah kau pandang aku sebagai sahabatmu?
Sudikah kau menerima setiap kehadiranku sebagai sahabat
yang membantumu di kala susah?
Aku tak pinta diri ini menjadi
penamanmu di kala senang,
Cuma aku pinta,
Izinkan tangan aku menenangkan kau di kala kau sedih,
Izinkan tanganku ini memaut kau di kala kau jatuh,
Izinkan telingaku ini menjadi pendengar segala masalahmu
Izinkan diriku ini menjadi penemanmu tidak kira apa waktu sekali pun.

Aku tahu,
Diri ini terlalu banyak kelemahannya,
Tidak layak untuk menjadi sahabat untuk dirimu,
Tapi untuk sekian kalinya,
Izinkan aku menjadi sahabatmu di kala susah,
Izinkan aku menjadi pemerhatimu di kala gembira,
Dan izinkan aku mengirimi doa untuk kesejahteraanmu.
 
Sampai di sini sahaja ayat yang mampu ku coretkan
buat kau, Dayyan,
Semoga kau bahagia dunia dan akhirat.
Selamat berjumpa di jannahNya kelak, Inshaa Allah. '
 
Air mata yang menitis di atas buku Rafiq,
dikesatnya.
Allah..
 
**********
 
Wahai pembaca yang dikasihi Allah ,
Jika kau ingin mencari sahabat,
Carilah dalam kalangan temanmu,
Yang sangat mengambil berat akan dirimu,
Yang sentiasa ada di kala susahmu,
Yang sentiasa menemani mu tatkala sedihmu,
Yang sentiasa tersenyum mendengar berita gembira
tentang dirimu.
 
 Carilah yang sentiasa mendoakanmu,
Carilah yang sentiasa mengingatkanmu akan kebaikan,
Kerana sahabat sebegini akan memandu kau ke jalan
yang diredhaiNya.
 
Wahai hamba-hamba Allah,
Sahabat sejati adalah orang yang sukar kita sedari kehadirannya,
Kerana di kala dirimu senang, 
Dirinya jarang berada di sisimu,
Tapi di kala dirimu susah, 
Dialah orang pertama yang menghulurkan tangannya
Orang yang pertama meminjamkan telinganya
dalam mendengar masalahmu.
 
Itulah sahabat,
Sahabat yang akan membawamu ke syurga dengan izinNya,
Sungguh beruntung jika kau memiliki sahabat seperti ini.
 

 
 

Friday 13 September 2013

Cinta Hakiki




Tuhan betapa aku malu,
Atas semua yang Kau beri padahal diriku,
Terlalu sering,
MembuatMu kecewa.

Bila aku terlena,
Kau berikan ku kesempatan,
Berulang kali,
Agar ku kembali.

Dalam fitrahku,
Sebagai manusia,
Untuk menyembahiMu.

Aku ingin mencintaiMu,
Setulusnya,
Sebenar-benar aku cinta,
Dalam doa,
Dalam ucapan,
Dalam setiap langkahku.

Aku ingin mencintaiMu,
Selamanya,
Sehina apapun diriku,
Ku berharap,
Untuk bertemu denganMu
Ya Rabbi..

Monday 9 September 2013

Iman

 Ya Allah,
 Apa yang tak kena dengan diri aku ni ya Allah?
Allah.
Ya Allah,
Aku mohon Ya Allah,
Jangan pernah kau kembalikan aku ke jalan 
yang kau murkai,
Kuatkanlah imanku Ya Allah,
Cekalkanlah diriku ini Ya Allah,
Kuatkanlah aku dalam hidup yang penuh ranjau ini.
Ya Allah,
Aku lalai ya Allah,
Sudah berkali-kali,
Aku jatuh tersungkur di kaki Iblis ya Allah,
Bukan sekali,
Bukan dua kali,
Malah berkali-kali,
Tidak terhitung banyaknya.

Ya Allah,
Tatkala ajal Rasulullah ditarik keluar,
Fikirannya tidak pernah luput dari mengingati ummatnya,Aku ini ummatnya Ya Allah!
Tapi aku lupa pada Nabiku ya Allah!
Ummat jenis apakah aku ini Ya Allah?!
Layakkah aku tergolong dalam ummatnya?!
Layakkah aku merasa syafaatnya?!
 
Layakkah aku merasa syurgaMu?!
Layakkah aku untuk melihat wajahMu Ya Allah?!
Layakkah aku berhimpun bersama Rasulullah Ya Allah?!
 Layakkah aku?!
Layakkah aku?!!
Aku malu Ya Allah,
Aku malu dengan Kau,
Sudah berkali-kali ku tersungkur di kaki Iblis,
Tapi kau,
Tidak pernah berhenti memberikanku nikmat,
Hamba jenis apakah aku ini Ya Allah?
Hamba jenis apa aku ini?!
Aku bodoh Ya Allah,
Tatkala aku dirundung masalah,
Baru aku hendak mengadu kepada Kau,
Tatkala tiada siapa-siapa menemani aku di sisi,
Baru aku hendak mencari Kau Ya Allah,
Sedangkan Kau sentiasa berada di sisiku,
Walaupun berkali-kali ku menjauh.

Imannnn!
Di manakah kau?!
Aku perlukan kau untuk berjuang ke syurga!
Aku perlukan kau untuk terangi hidupku!
Aku perlukan kau untuk tatap wajah Rasulullah!
Aku perlukan kau untuk tatap wajah Allah!
Di mana kau?!
Mana?!

Aku di sini, ya hamba Allah,
Tapi aku tak mampu pergi ke arah kau,
Berlarilah,
Larilah dalam mengejarku!
Ayuh, hamba Allah!
Lari!
Kejar aku!
Capai aku!
Peluk erat diriku!
Bawaku terbang bersama hatimu yang ikhlas!
Kejar aku dengan hati yang tawaduk!
Sentuh aku dengan jiwamu!
Hiduplah Lillahitaala!
Hidup kau kerana Dia,
Mati kau kerana Dia!
Hidup ini cuma pentas lakonan!
Yang benar adalah,
akhiratNya!
AkhiratNya yang benar!
Kejar aku!
Jangan biarkan aku pergi!
Aku mahu kekal bersama kau
tapi aku tak boleh bersamamu
jika kau tidak berusaha mencari aku dan
menggapai aku!
Ayuh!
Ayuh!
Jangan mengalah!
Ingat Tuhanmu,
Ingat nabimu,
Ingat keluargamu,
Ingat syurgaNya,
Ingat nerakaNya!

Tunggu aku Iman!
Aku akan peluk kau!
Aku akan eratkan pelukan aku!
Biar kau tidak pergi menjauh!
Tunggu aku!
Aku dalam perjalanan meraihmu!
Ingat!
Tunggu aku!
           

Saturday 7 September 2013

Marah

Angry baby. Awwwww.
 
 
" Ish, mana kasut aku ni? Sudahlah aku lambat," rungutnya.
 
Si dia memerhati sahaja tingkah sahabatnya di luar rumah melalui dalam kereta. 
Dia datang untuk menjemput sahabat bermain futsal.
 
" Adikkkk!"
 
Keluar si adik dari belakang rumah terkedek-kedek 
dengan tangan menggenggam kapur kasut. 
Wajahnya penuh terpalit dengan kapur kasut.
 
" Nampak tak kasut abang?" tanyanya.
 
Si adik yang masih kecil tersenyum.
 
" Nampak," jawab adiknya.
 
Si dia yang memerhati sahaja dari tadi langsung tidak mengalihkan pandangan 
dari menonton aksi dua beradik itu.
 
" Nampak? Dekat mana? Bawa ke sini, abang dah lambat
nak main futsal ni," suruhnya.
 
Si adik terkedek-kedek berlari semula ke belakang rumah dengan wajah
ceria lalu kembali semula dengan kasut jenama Adidas berwarna putih di tangan.
Mata si abang terus membulat melihat kasut kesayangannya.

" Apa kau dah buat dengan kasut aku ni hah?!" 
Matanya mencerlung ke arah adiknya
yang sedang menahan gerun.

Si dia yang berada di dalam kereta tersentak mendengar
tengkingan sahabatnya.
Belum pernah dia dengar sahabatnya itu
menengking sesiapa. Pantas dia keluar dari keretanya
untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi.
Rasa kasihan terbit di hatinya apabila melihat si adik
sudah bergenang air mata.
 
" Kasut abang.. kotor. Adik kapurkan kasut abang... biar cantik.." 
Jawab si adik takut.
 
" Kau tahu tak aku dah lambat? Yang kau sibuk-sibuk nak kapur
kasut aku ni apahal? Dah tak ada kerja sangat ke?"
 
Si dia tidak betah melihat kemarahan sahabatnya. Entah kenapa angin
sahabatnya lain macam sahaja.
 
" Munir, sudahlah tu.." pujuk si dia kepada sahabatnya itu. Bimbang jika 
pertengkaran itu didengari ibu bapa sahabatnya.
 
" Kau tengok kasut aku ni? Macam mana aku nak main futsal 
kalau kasut aku dah kena kapur macam ni? Lambat nak kering, tahu tak?"
Si dia turut terkena tengkingan sahabatnya.
 
Dia menggeleng perlahan.
Hanya kerana kasut, sahabatnya sudah hilang kewarasan.
 
" Tak apa, dalam kereta aku, ada kasut lagi satu. Kau boleh pinjam
kasut aku dulu. Dah mari pergi."
Tangan sahabatnya ditarik agar berlalu dari situ.
Tangannya mengusap lembut kepala si kecil yang sudah menitis air matanya.
 
" Sebelum aku balik, aku nak tengok kasut aku ni dah bersih. Faham?!"
Si adik mengangguk faham sambil teresak kecil.
 
Si abang mendengus kasar lalu menuju ke kereta milik sahabatnya tanpa sebarang kata. 
 
Si dia menggeleng kesal.
Kesal kerana Iblis sudah berjaya menghasut sahabatnya.
 
*****************************************
 
" Aku kecewa dengan kau, Munir."

Diam.

" Dia masih kecil, tidak mengerti apa-apa. Dia tidak layak untuk dimarahi. Lagipun itu 
cuma sepasang kasut."

" Kau cakap senanglah. Bukan kau yang rasa! 
Adik aku tu manja terlebih, sebab tu
dia buat ikut suka hati dia je."

Dia beristighfar.

" Kelihatan api masih membara dalam jiwa kau."

CD yang terkandung segala zikir dimasukkan. 

Suasana yang tengang bertukar redup apabila
zikir berkumandang.

" Marah itu api. Api itu Iblis. Apabila emosi tidak terkawal,
Iblislah benda pertama yang menjadi teman.
Rasulullah pernah bersabda, " Mereka yang kuat bukanlah mereka yang 
selalu menumpaskan orang lain, akan tetapi orang yang kuat adalah 
orang yang berjaya mengawal kemarahan." Nak marah itu boleh,
tapi bertempatlah melempiaskan kemarahan itu. Jika kemarahan kau 
akan sesuatu yang tidak berguna,
kawallah marah itu. Jangan letak tahap marah kepada IFRATH
tetapi jangan juga menjadi orang yang TAFRITH
tetapi letaklah kemarahan itu pada tahap I'TIDAL."
 
" Ifrath? Tafrith? I'tidal? Maksud kau?"
 
" Nampaknya banyak sangat kau dah lupa tentang sifat marah."
 
" Maaf, aku memang tak guna. Abang yang tak guna, mukmin yang 
tak guna. Tapi still ada hati nak jadi dai'e." Keluhnya kesal. Terbayang
wajah si adik yang manja dengan 
dirinya.
 
"  Tiada dai'e yang sempurna dekat muka bumi ini. Dai'e berhak buat 
salah. Sebab itu lumrah hidup."
 
" Berbalik semula kepada Ifrath, Tafrith dan I'tidal. Ifrath bermaksud marah yang 
melampau. Marah yang membatasi kewarasan akal. 
Marah yang tidak memikir terlebih dahulu siapa dan kesan terhadap
orang yang dimarah."
 
" Jadi, ketika aku marah tadi adalah dalam golongan Ifrath?"
 
" Ya benar. Kau lupa siapa yang kau marahkan. 
Dia adik kau. Dia baru berumur lima tahun.
Niat dia murni untuk menghilangkan kotoran
yang ada pada kasut kau.
Tapi kau tanpa berfikir panjang,
terus memarahi dia. Marah kau buatkan dia menangis.
Itu marah yang tercela."
 
Diam. Dia terdiam mendengar penerangan sahabatnya.
Dia beristighfar panjang.
 
 " Jadi apa pula I'tidal?" tanyanya tidak bernada.
Malu dengan sahabatnya ini. 

" I'tidal bermaksud marah yang sederhana. 
Marah jenis ini tidak menghilangkan
sifat marah secara total dan hanya
akan marah dalam situasi yang bersesuaian.
Marah jenis ini masih dikuasai akal dan mereka
masih mengikuti garisan syarak.  
Dan marah yang sederhana itu adalah marah yang 
paling baik sekali. Marah tahap ini
sesuai digunakan dalam mendidik dan
memberi nasihat."
 
" Nak beri nasihat pun perlu kena marah ke?Tak boleh 
ke berlembut?"
 
" Manusia ini ada dua golongan Munir.
Satu berhati keras, satu lagi berhati lembut. Orang yang
berhati batu sukar menerima nasihat. Jadi,
nasihat yang lembut masuk telinga kanan,
keluar telinga kiri. Itulah peranannya I'tidal dalam memberi nasihat.
I'tidal bukan marah yang terlalu berkeras, tetapi marah yang bertegas."
 
Tarik nafas. Hembus. Dia memandang sahabatnya yang 
berwajah tenang. 
Sukar untuk melihat sahabatnya itu marah 
kerana benda yang sia-sia.
Jikalau marah pun,
marah yang bertujuan menasihati dan mendidik,
tapi masih terselitnya kelembutan ayatnya.
 
" Habistu, Tafrith tu pula
bagaimana?"
 
" Tafrith tu adalah peringkat yang paling lemah.
Lemah sekali dan amat memalukan sebab tafrith ini adalah
orang yang tiada sifat marah."
 
" Tiada sifat marah memalukan? Eh kenapa 
pula?" tanya Munir keliru.
 
Dia tersenyum sebelum menjawab.
" Orang yang tiada sifat marah dia tidak dapat
melindungi haknya. Orang yang tiada sifat marah, dia
tiada keyakinan dalam diri dan privasinya mudah diceroboh.
Apabila haknya diganggu, dia berdiam tanpa mempertahankan
haknya, tanpa sedikit rasa marah pun. 
Apa yang berlaku dekat sekeliling dia, 
dia tidak langsung marah.
Orang macam ni tiada sifat kepimpinan dan tegas 
serta tidak mampu melindungi keluarga.
Dia melalui sesuatu perkara dengan sikap kebaculan
dan terlalu merendah diri
Sedangkan Rasulullah juga mempunyai 
sifat marah dan tegas terhadap 
ummahnya. Tetapi marah Rasulullah,
marah yang bertujuan baik.
Kalau bagi seorang suami yang tiada sifat marah,
dan hanya membiarkan isterinya,
disentuh sesuka hati oleh ajnabi dengan kerelaan isterinya,
itu dipanggil apa Munir?" tanyanya sekadar menguji.
 
" Itu dayus."
 
" Ya, betul tu. Tafrith ini tercela di sisi syarak.
Jadi, marah ini penting. 
Dan marah ini adakalanya dikeji dan adakalanya dipuji dan adakalanya diharuskan.
Marah yang dipuji dipanggil al-ghadhab al-mahmud. Perasaan marah ini
amat dituntut apabila berlakunya pencabulan terhadap hukum-hukum
Allah atau perlanggaran terhadap hukum-hukum Allah.
Sifat ini adalah hasil daripada keimanan yang kuat 
terhadap Allah dan orang yang tidak marah terhadap pencabulan
hukum Allah dan perlanggaran hukum Allah,
adalah orang yang mempunyai iman yang lemah. 
Dia tidak kisah agama dia diinjak-injak."

" Marah yang kedua, marah yang dicela yang dipanggil
al-ghadhab al-mazmum. Marah yang dicela iaitu marah keatas 
hukum yang telah ditetapkan Allah. Orang buat hukum hudud, 
dia benci dan marah dekat orang yang laksanakan
hudud itu. Itu marah yang dicela. Marah yang keji."
 
" So, marah yang diharuskan tu apa pula?"
 
" Marah yang diharuskan atau nama lainnya iaitu al-ghadhab al-mubah.
 Contohnya, seseorang itu marah apabila amanahnya
tidak dilaksanakan dengan betul atau
marah apabila perkara yang sepatutnya
diketahui olehnya, dirahsiakan atau marah kerana rahsia penting 
sesuatu organisasi atau negara dibocorkan."
 
Dia memberhentikan keretanya di hadapan sebuah surau.
Munir memandang sahabatnya pelik.

" Nak buat apa dekat sini?"

" Nak padamkan api yang mungkin tengah menyala lagi."

" Padamkan api?" tanya Munir keliru.

" Ya, padamkan api kemarahan."

Munir terkedu.

" Munir, bagitahu aku cara mengawal perasaan marah.
Pasti kau tahu kan?" tanyanya sengaja.

Munir angguk. Sudah pasti dia tahu.
 
" Okay, tell me how to handle it."

Mengucapkan taawudz. Apabila marah, diam.
Jika ada bibit marah dalam hati, hendaklah dia duduk.
Kalau tidak reda, hendaklah dia berbaring."

" And last sekali?" tanya dia kepada Munir.

" Berwuduk."

" So, aku nak kau turun sekarang dan pergi ambil wuduk."

Munir mengangguk. Sebelum keluar dari kereta,
dia memandang sahabat baiknya.

" Thanks sahabat. Kau sahabat terbaik aku dunia dan akhirat." Ucap Munir.

" Sama-sama kasih, sahabat. Kau sahabat yang
aku ingin jumpa di syurga kelak, Inshaa Allah."


*******
NOTA SELIT:  
- Watak dua orang lelaki diatas adalah rekaan semata-mata. Manakala baby tu pula, anak aku. Ehhhh?
- Kebaculan/bacul tu bermaksud pengecut. 



 
 
 
 

Friday 6 September 2013

Pantulan



" Kayu, apa yang hebat disebalik kayu?"

Hehhh,
Kau sangka kayu tiada kelebihan ke?
Kau,
Hanya tengok luarannya sahaja,
Tanpa menggandingkan kayu dengan benda yang lain,
Kenapa aku kata macam tu?
Hah,
Dengar sini,
Aku nak kau gandingkan kayu dengan kertas pasir,
Kau kena anggap kayu tu adalah kau,
Dan kertas pasir/kertas las itu adalah insan lain yang membenci kau.

******

Kayu,
Kau lihat permukaannya,
Permukaannya kasar,
Dan itulah kelemahannya.

Maka,
Kerana kelemahannya itu,
Kertas las memainkan peranan,
Permukaan itu digosok,
Jika kayu itu mampu bersuara,
Pasti dia kata "Aduh sakitnya!"
Tapi malangnya,
Dia tidak mampu.

Gosok,
Gosok,
Dan kertas las itu terus menggosok,
Sehinggalah,
Kelemahan yang ada pada kayu,
Menjadi kelebihan.

Apa kelebihan dia?
Cuba kau sentuh permukaannya,
Licin bukan?Sudah sempurna bukan?
 Kerana apa?
Kerana kertas las itu sudah 'menyerap' segala kelemahan itu,
Lalu terpalit segala kekotoran dan kelemahan kayu,
Pada permukaan kertas las.

******

Kau faham apa yang aku cuba sampaikan? Tidak faham?
Maksudnya begini,
Kau (kayu) manusia yang lemah,
Pasti kau ada kekurangan,
Lalu mereka(kertas las) yang menyangka diri mereka sempurna,
Menjaja cerita akan kau,
Tanpa kau sedar,
Lalu kisah itu tersebar,
Dan kau pasti merasa sakit,
Tapi kau tidak mampu berbuat apa-apa,
Kerana kau tidak mengenali si penyebar cerita.

Tapi,
Dalam kesakitanmu,
Ada hikmahnya,
Dosa yang bertimbun di bahu kirimu,
Berpindah ke bahu mereka,
Lalu kau suci tanpa dosa,
Bahu kirimu licin bak permukaan kayu itu tadi,
Sedangkan mereka terpalit dengan dosa kau bak kertas las yang terpalit dengan habuk kayu.

Mereka sangka,
Mereka cukup sempurna,
Tapi mereka lupa,
Tiada apa yang sempurna di muka bumi ini melainkan Allah Azzawajalla.



Cermin



"Bodoh,
Hina,
Lalai,
Itulah diri kau kayu,

Dahlah kayu,
Nak istighfar 10 kali pun,
Susah sangat,
Ini ke orang harapan ummah?

*tersentak*

"Nak berselawat pun kena tunggu waktu solat,
Ini ke orang yang patut dibanggakan dalam Islam?
Sudahlah Kayu,
Kau sudah terbodoh sendiri dengan tingkahmu.

*diam*

"Kayu,
Kau memang pandai bagi nasihat,
Setiap nasihat kau,
Mengusik jiwa mukmin lain,
Tapi jiwa kau,
Adakah turut terusik?

Atau  itu hanya retorik semata-mata?"

*Dushhhh!*

Aku dah cuba sedaya upaya,
Tapi aku hanya manusia biasa,
Tak mampu elak melakukan dosa.

" Huh,
Tak mampu elak nak lakukan dosa?
Hei Kayu,
Kau lupa ingatan kau pada orang lain?
Kau lupa apa yang kau dah nasihatkan?
Kau kata, mengingati mati akan membuatkan diri takut melakukan dosa,
Tapi kau,
Adakah kau aplikasikan cara itu?
Ada ke?
Memang ada,
Memang kau ada ingat pasal mati,
Tapi itu ketika kau diingatkan oleh orang lain,
Benarkan kataku?"

*Geleng kepala, tak mengaku*

" Arhh! 
Kau memang ego kayu,
Dengan aku kau tak boleh nafikan,
Kerana aku adalah kau,
Kerana kau perlukan aku,
Kerana aku adalah imanmu,
Yang kau pernah campak sekali dulu.

Apakah kau ingin mencampakkan aku sekali lagi,
Kayu?
Apakah kau mahu pinggirkan aku sekali lagi?
Apakah kau mahu aku pergi dari hidupmu sekali lagi?"

*Hentak kepala! Sedih! Sentap!*    

Ya Allah,
Ampunkan aku Ya Allah,
Aku lalai,
Aku lalai dengan pekerjaan ku,
Aku lalai akan tanggungjawabku,
Hinanya aku Ya Allah,
Lemahnya aku Ya Allah.

Benar kata mu wahai Iman,
Aku pandai berkata-kata,
Aku pandai menegur,
Tetapi diriku sendiri,
Sesat diambang Jahiliyyah,
Ya Allah,
Jauhkanlah aku dari kesesatan,
Yang aku pernah terlibat Ya Allah,
Kuatkanlah Imanku Ya Allah,
Jangan biarkan,
Iman ku pergi dari hidupku,
Seperti mana yang pernah terjadi ya Allah,
Aku riak ya Allah,
Aku bangga dengan amalan aku Ya Allah,
Aku berdosa ya Allah...
Aku berdosa..
Aku lemah...
Hati dan mindaku mencegah kemungkaran,
Tapi tanganku, kakiku, lidahku?
Adakah aku menggunakannya Ya Allah?..

Aku takut Ya Allah,
Aku takut dengan amalan ku Ya Allah,
Aku khuatir akan pujian dunia Ya Allah,
Aku gentar akan riak amalan Ya Allah,
Kerana itu semua pembunuh imanku Ya Allah..

Aku takut..
Aku takut..
Aku takut kau tak redha akan hidupku,
Aku takut kau tak redha akan kerjaku,
Bagaimana aku hendak hidup tanpa redhamu Ya Allah?

Ya Allah,
Dalam solatku, 
Dalam doaku,
Aku pinta syurgamu,
Tapi..
Mampukah aku menjadi ahli syurga?
Mampukah aku meniti titian sirat dengan mudah?
Atau langkahku tersangkut di titian sirat?
Atau...
Aku tercebur ke lembah nereka?


Maafkan aku Allah,
Maafkan aku kerana lalai,
Maafkan aku kerana aku lalai,
Maafkan aku,
Kerana aku riak,
Maafkan aku..

Maafkan aku Ya Rasulullah,
Maafkan aku kerana memiliki ummah seperti ku,
Maafkan aku kerana mempersiakan air mata mu yang mengalir kerana diriku,
Maafkan aku,
Kerana sentiasa lupa akan dirimu,
Pengorbananmu,
Jasamu,
Dan Sunnahmu.     

Maafkan aku, Abah, Ibu,
Maafkan aku kerana tidak mampu menjadi anak yang baik,
Maafkan ku,
Kerana aku gagal menunaikan impianmu,
Maafkan ku,
Kerana memiliki anak seperti diriku,
Yang lemah imannya,
Yang lemah amal ibadahnya,
Maafkan aku..
Maafkan aku sahabat..
Maafkan aku sahabat kerana mengecewakan kau..
Maaf...
Maaf...