Saturday 7 September 2013

Marah

Angry baby. Awwwww.
 
 
" Ish, mana kasut aku ni? Sudahlah aku lambat," rungutnya.
 
Si dia memerhati sahaja tingkah sahabatnya di luar rumah melalui dalam kereta. 
Dia datang untuk menjemput sahabat bermain futsal.
 
" Adikkkk!"
 
Keluar si adik dari belakang rumah terkedek-kedek 
dengan tangan menggenggam kapur kasut. 
Wajahnya penuh terpalit dengan kapur kasut.
 
" Nampak tak kasut abang?" tanyanya.
 
Si adik yang masih kecil tersenyum.
 
" Nampak," jawab adiknya.
 
Si dia yang memerhati sahaja dari tadi langsung tidak mengalihkan pandangan 
dari menonton aksi dua beradik itu.
 
" Nampak? Dekat mana? Bawa ke sini, abang dah lambat
nak main futsal ni," suruhnya.
 
Si adik terkedek-kedek berlari semula ke belakang rumah dengan wajah
ceria lalu kembali semula dengan kasut jenama Adidas berwarna putih di tangan.
Mata si abang terus membulat melihat kasut kesayangannya.

" Apa kau dah buat dengan kasut aku ni hah?!" 
Matanya mencerlung ke arah adiknya
yang sedang menahan gerun.

Si dia yang berada di dalam kereta tersentak mendengar
tengkingan sahabatnya.
Belum pernah dia dengar sahabatnya itu
menengking sesiapa. Pantas dia keluar dari keretanya
untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi.
Rasa kasihan terbit di hatinya apabila melihat si adik
sudah bergenang air mata.
 
" Kasut abang.. kotor. Adik kapurkan kasut abang... biar cantik.." 
Jawab si adik takut.
 
" Kau tahu tak aku dah lambat? Yang kau sibuk-sibuk nak kapur
kasut aku ni apahal? Dah tak ada kerja sangat ke?"
 
Si dia tidak betah melihat kemarahan sahabatnya. Entah kenapa angin
sahabatnya lain macam sahaja.
 
" Munir, sudahlah tu.." pujuk si dia kepada sahabatnya itu. Bimbang jika 
pertengkaran itu didengari ibu bapa sahabatnya.
 
" Kau tengok kasut aku ni? Macam mana aku nak main futsal 
kalau kasut aku dah kena kapur macam ni? Lambat nak kering, tahu tak?"
Si dia turut terkena tengkingan sahabatnya.
 
Dia menggeleng perlahan.
Hanya kerana kasut, sahabatnya sudah hilang kewarasan.
 
" Tak apa, dalam kereta aku, ada kasut lagi satu. Kau boleh pinjam
kasut aku dulu. Dah mari pergi."
Tangan sahabatnya ditarik agar berlalu dari situ.
Tangannya mengusap lembut kepala si kecil yang sudah menitis air matanya.
 
" Sebelum aku balik, aku nak tengok kasut aku ni dah bersih. Faham?!"
Si adik mengangguk faham sambil teresak kecil.
 
Si abang mendengus kasar lalu menuju ke kereta milik sahabatnya tanpa sebarang kata. 
 
Si dia menggeleng kesal.
Kesal kerana Iblis sudah berjaya menghasut sahabatnya.
 
*****************************************
 
" Aku kecewa dengan kau, Munir."

Diam.

" Dia masih kecil, tidak mengerti apa-apa. Dia tidak layak untuk dimarahi. Lagipun itu 
cuma sepasang kasut."

" Kau cakap senanglah. Bukan kau yang rasa! 
Adik aku tu manja terlebih, sebab tu
dia buat ikut suka hati dia je."

Dia beristighfar.

" Kelihatan api masih membara dalam jiwa kau."

CD yang terkandung segala zikir dimasukkan. 

Suasana yang tengang bertukar redup apabila
zikir berkumandang.

" Marah itu api. Api itu Iblis. Apabila emosi tidak terkawal,
Iblislah benda pertama yang menjadi teman.
Rasulullah pernah bersabda, " Mereka yang kuat bukanlah mereka yang 
selalu menumpaskan orang lain, akan tetapi orang yang kuat adalah 
orang yang berjaya mengawal kemarahan." Nak marah itu boleh,
tapi bertempatlah melempiaskan kemarahan itu. Jika kemarahan kau 
akan sesuatu yang tidak berguna,
kawallah marah itu. Jangan letak tahap marah kepada IFRATH
tetapi jangan juga menjadi orang yang TAFRITH
tetapi letaklah kemarahan itu pada tahap I'TIDAL."
 
" Ifrath? Tafrith? I'tidal? Maksud kau?"
 
" Nampaknya banyak sangat kau dah lupa tentang sifat marah."
 
" Maaf, aku memang tak guna. Abang yang tak guna, mukmin yang 
tak guna. Tapi still ada hati nak jadi dai'e." Keluhnya kesal. Terbayang
wajah si adik yang manja dengan 
dirinya.
 
"  Tiada dai'e yang sempurna dekat muka bumi ini. Dai'e berhak buat 
salah. Sebab itu lumrah hidup."
 
" Berbalik semula kepada Ifrath, Tafrith dan I'tidal. Ifrath bermaksud marah yang 
melampau. Marah yang membatasi kewarasan akal. 
Marah yang tidak memikir terlebih dahulu siapa dan kesan terhadap
orang yang dimarah."
 
" Jadi, ketika aku marah tadi adalah dalam golongan Ifrath?"
 
" Ya benar. Kau lupa siapa yang kau marahkan. 
Dia adik kau. Dia baru berumur lima tahun.
Niat dia murni untuk menghilangkan kotoran
yang ada pada kasut kau.
Tapi kau tanpa berfikir panjang,
terus memarahi dia. Marah kau buatkan dia menangis.
Itu marah yang tercela."
 
Diam. Dia terdiam mendengar penerangan sahabatnya.
Dia beristighfar panjang.
 
 " Jadi apa pula I'tidal?" tanyanya tidak bernada.
Malu dengan sahabatnya ini. 

" I'tidal bermaksud marah yang sederhana. 
Marah jenis ini tidak menghilangkan
sifat marah secara total dan hanya
akan marah dalam situasi yang bersesuaian.
Marah jenis ini masih dikuasai akal dan mereka
masih mengikuti garisan syarak.  
Dan marah yang sederhana itu adalah marah yang 
paling baik sekali. Marah tahap ini
sesuai digunakan dalam mendidik dan
memberi nasihat."
 
" Nak beri nasihat pun perlu kena marah ke?Tak boleh 
ke berlembut?"
 
" Manusia ini ada dua golongan Munir.
Satu berhati keras, satu lagi berhati lembut. Orang yang
berhati batu sukar menerima nasihat. Jadi,
nasihat yang lembut masuk telinga kanan,
keluar telinga kiri. Itulah peranannya I'tidal dalam memberi nasihat.
I'tidal bukan marah yang terlalu berkeras, tetapi marah yang bertegas."
 
Tarik nafas. Hembus. Dia memandang sahabatnya yang 
berwajah tenang. 
Sukar untuk melihat sahabatnya itu marah 
kerana benda yang sia-sia.
Jikalau marah pun,
marah yang bertujuan menasihati dan mendidik,
tapi masih terselitnya kelembutan ayatnya.
 
" Habistu, Tafrith tu pula
bagaimana?"
 
" Tafrith tu adalah peringkat yang paling lemah.
Lemah sekali dan amat memalukan sebab tafrith ini adalah
orang yang tiada sifat marah."
 
" Tiada sifat marah memalukan? Eh kenapa 
pula?" tanya Munir keliru.
 
Dia tersenyum sebelum menjawab.
" Orang yang tiada sifat marah dia tidak dapat
melindungi haknya. Orang yang tiada sifat marah, dia
tiada keyakinan dalam diri dan privasinya mudah diceroboh.
Apabila haknya diganggu, dia berdiam tanpa mempertahankan
haknya, tanpa sedikit rasa marah pun. 
Apa yang berlaku dekat sekeliling dia, 
dia tidak langsung marah.
Orang macam ni tiada sifat kepimpinan dan tegas 
serta tidak mampu melindungi keluarga.
Dia melalui sesuatu perkara dengan sikap kebaculan
dan terlalu merendah diri
Sedangkan Rasulullah juga mempunyai 
sifat marah dan tegas terhadap 
ummahnya. Tetapi marah Rasulullah,
marah yang bertujuan baik.
Kalau bagi seorang suami yang tiada sifat marah,
dan hanya membiarkan isterinya,
disentuh sesuka hati oleh ajnabi dengan kerelaan isterinya,
itu dipanggil apa Munir?" tanyanya sekadar menguji.
 
" Itu dayus."
 
" Ya, betul tu. Tafrith ini tercela di sisi syarak.
Jadi, marah ini penting. 
Dan marah ini adakalanya dikeji dan adakalanya dipuji dan adakalanya diharuskan.
Marah yang dipuji dipanggil al-ghadhab al-mahmud. Perasaan marah ini
amat dituntut apabila berlakunya pencabulan terhadap hukum-hukum
Allah atau perlanggaran terhadap hukum-hukum Allah.
Sifat ini adalah hasil daripada keimanan yang kuat 
terhadap Allah dan orang yang tidak marah terhadap pencabulan
hukum Allah dan perlanggaran hukum Allah,
adalah orang yang mempunyai iman yang lemah. 
Dia tidak kisah agama dia diinjak-injak."

" Marah yang kedua, marah yang dicela yang dipanggil
al-ghadhab al-mazmum. Marah yang dicela iaitu marah keatas 
hukum yang telah ditetapkan Allah. Orang buat hukum hudud, 
dia benci dan marah dekat orang yang laksanakan
hudud itu. Itu marah yang dicela. Marah yang keji."
 
" So, marah yang diharuskan tu apa pula?"
 
" Marah yang diharuskan atau nama lainnya iaitu al-ghadhab al-mubah.
 Contohnya, seseorang itu marah apabila amanahnya
tidak dilaksanakan dengan betul atau
marah apabila perkara yang sepatutnya
diketahui olehnya, dirahsiakan atau marah kerana rahsia penting 
sesuatu organisasi atau negara dibocorkan."
 
Dia memberhentikan keretanya di hadapan sebuah surau.
Munir memandang sahabatnya pelik.

" Nak buat apa dekat sini?"

" Nak padamkan api yang mungkin tengah menyala lagi."

" Padamkan api?" tanya Munir keliru.

" Ya, padamkan api kemarahan."

Munir terkedu.

" Munir, bagitahu aku cara mengawal perasaan marah.
Pasti kau tahu kan?" tanyanya sengaja.

Munir angguk. Sudah pasti dia tahu.
 
" Okay, tell me how to handle it."

Mengucapkan taawudz. Apabila marah, diam.
Jika ada bibit marah dalam hati, hendaklah dia duduk.
Kalau tidak reda, hendaklah dia berbaring."

" And last sekali?" tanya dia kepada Munir.

" Berwuduk."

" So, aku nak kau turun sekarang dan pergi ambil wuduk."

Munir mengangguk. Sebelum keluar dari kereta,
dia memandang sahabat baiknya.

" Thanks sahabat. Kau sahabat terbaik aku dunia dan akhirat." Ucap Munir.

" Sama-sama kasih, sahabat. Kau sahabat yang
aku ingin jumpa di syurga kelak, Inshaa Allah."


*******
NOTA SELIT:  
- Watak dua orang lelaki diatas adalah rekaan semata-mata. Manakala baby tu pula, anak aku. Ehhhh?
- Kebaculan/bacul tu bermaksud pengecut. 



 
 
 
 

No comments:

Post a Comment