Saturday 14 September 2013

Sahabat

 
Kredit: Langit Ilahi
 
 
Rafiq menunggang motornya ke taman rekreasi yang 
berdekatan dengan rumahnya.
Dia ingin bertemu dengan Dayyan bagi meminjamkan notanya
yang tidak sempat disalin Dayyan ketika di kelas.
 
Motor diparkir.
Kelibat Dayyan dicari, dan rakannya itu dilihat 
sedang duduk termenung memandang ke tasik.
 
" Assalamualaikum."
" Wa'alaikumussalam." Jawab Dayyan.
" Ada apa kau nak jumpa aku?" Dingin Dayyan bertanya.
" Aku mengganggu kau ke?" tanya Rafiq pula.
" Tak mengganggu. Tapi sebab apa?"
 
Rafiq tersenyum. 
Buku nota disimpan disebalik jaket.
" Saja aku nak jumpa kau. Sejak dua menjak ni
aku tengok kau macam bermasalah dekat sekolah.
Share lah dengan aku brother."
 
Dayyan memandang Rafiq sekilas. 
Tersentuh mendengar kata-kata Rafiq yang hanya dianggap kawan biasa sahaja.
Tapi, walaupun sekadar kawan biasa,
lelaki inilah yang banyak membantunya di kala susah
berbanding mereka yang sudah dianggap teman rapat olehnya.
 
" Kau tak perlu tahulah. Kau bukan siapa-siapa pun."

Rafiq tersenyum. 
Ya, dia sedar dia bukan siapa-siapa dalam hidup temannya itu,
tapi dia ingin menjadi teman susah dan senang bersama temannya ini.
Tidak dapat menjadi teman di kala senang pun tak apa,
asalkan dia diberi peluang untuk ada ketika susah.

" Kau dah salin nota yang Ustaz Hanafi bagi?" tanya Rafiq.
" Belum."
" Kenapa belum lagi?" 
" Tiada siapa mahu bagi aku pinjam buku nota mereka."
 Keluh Dayyan kesal.
" Teman rapat kau tak bagi pinjam?" tanya Rafiq.

Dayyan memandang Rafiq apabila pertanyaan itu diutarakan.
Dengan lemah, dia menggeleng perlahan.
 
" Nah, pinjam buku aku ini." 
Rafiq menyerahkan buku notanya kepada Dayyan.
Teragak-agak temannya itu mahu sambut.
 
" Macam mana kau tahu.. aku perlukan nota ni?"
tanya Dayyan teragak-agak.
 
" Kau kan sahabat aku, pasti aku tahu."
Dayyan tersenyum. 
Itulah jawapan Rafiq setiap kali lelaki itu membantunya.
 
" Sudahlah, aku mahu pulang dulu. 
Takut ibu aku risau pula."
Rafiq bangun dari duduknya.
 
" Errr Rafiq, boleh aku tanya sesuatu?"
" Silakan."
 
Dayyan menarik nafas sedalamnya.
" Kau anggap aku ini siapa, Rafiq? Kawan atau bukan?"
 
" Aku tidak menganggap kau kawan."
Jawapan Rafiq membuatnya terdiam.
 
" Habistu, kau anggap aku apa?"
tanya Dayyan pelik.
 
" Aku anggap kau sahabat."
Jawapan Rafiq membuatkan Dayyan rasa dipermainkan. 
Baginya, kawan dan sahabat tiada bezanya.
Mereka akan hadir bila dia senang, tapi bila dia susah,
mereka tinggalkan dirinya terkontang-kanting.
Tapi Rafiq, dia tidak sebegitu.
 
" Kau jangan nak main-main dengan aku. Sahabat dengan kawan 
tiada bezanya. Dua-dua bukannya ada di kala aku susah." Balas Dayyan geram.
 
" Aku tak pernah mempermainkan kau. Mungkin bagi kau sahabat dan kawan itu
tiada bezanya kerana kau tidak cuba memahami erti sahabat. Dan mereka
yang kau sangka sahabat itu bukanlah sahabat kerana mereka hanyalah
teman ketawa."
 
Rafiq duduk kembali di kerusi batu yang disediakan.
" Kawan ini umum. Siapa-siapa boleh menjadi kawan kepada kita.
Kawan ini dia bukan sepenuhnya ada di sisi kita.
Dia hanya ada apabila kau senang. Hanya ada ketika untuk 
bergembira dengan kau.
Tapi sahabat ini berlainan. Sahabat ini limited edition
Ketika kau gembira, dia turut ada. Tapi,
kehadirannya kadang kala tidak disedari oleh kau.
Apabila kau gembira, dia turut berasa gembira. 
Dia tidak pernah mempunyai perasaan dengki atas kelebihan kau.
Malah, nama kau sentiasa disebut dalam doanya.
Dan apabila kau susah, dia dapat rasa kesusahan
yang dialami oleh kau.  
Dialah orang pertama yang akan hulurkan bantuan untuk kau,
walau dimana kau berada."

Dayyan merenung sepi wajah Rafiq.
Tersentap mendengar kata-kata itu.

" Kau terlalu baik Rafiq. Kau tak layak menjadi sahabatku." Kata Dayyan sebak.
Kenapa dia tidak menyedari kehadiran Rafiq yang banyak membantunya?
Kenapa?
 
" Jika begitu, izinkan aku menjadi pembantu kau di kala susah."
 
Dayyan menarik nafas panjang, cuba menghalau rasa terharu yang ada.
Dia teringat segala kesusahan yang dia alami,
dan yang pasti membantunya, hanyalah Rafiq.
Rafiq dan tetap Rafiq. Mereka yang dia sangkakan teman yang akan  
ada di kala susahnya 
langsung tidak menghulurkan bantuan.
 
" Aku balik dulu, Dayyan. Jangan lupa salin nota yang diberi." 
Rafiq bangun dari duduknya lalu menjauh dari situ.
 
Kelibat Rafiq yang menjauh dipandang sahaja.
Buku nota Rafiq di tangan, diselak sehelai demi sehelai.
Tiba-tiba, jatuh sehelai kertas yang terlipat kemas melalui buku nota itu.
 
Lipatan kertas itu dibuka perlahan. Di dalamnya,
terkandung isi daripada Rafiq.
 
' Assalamualaikum, Dayyan.
Aku tahu,
Pasti kau tidak jangkakan kehadiran kertas ini,
Maaf jika aku mencuri sedikit masa kau bagi 
menghayati ayat aku ni.

Aku tahu,
Aku bukan sesiapa.
Aku hanya lelaki yang dianggap teman biasa oleh kau,
Tidak lebih daripada itu.
Tapi,
Sudikah kau pandang aku sebagai sahabatmu?
Sudikah kau menerima setiap kehadiranku sebagai sahabat
yang membantumu di kala susah?
Aku tak pinta diri ini menjadi
penamanmu di kala senang,
Cuma aku pinta,
Izinkan tangan aku menenangkan kau di kala kau sedih,
Izinkan tanganku ini memaut kau di kala kau jatuh,
Izinkan telingaku ini menjadi pendengar segala masalahmu
Izinkan diriku ini menjadi penemanmu tidak kira apa waktu sekali pun.

Aku tahu,
Diri ini terlalu banyak kelemahannya,
Tidak layak untuk menjadi sahabat untuk dirimu,
Tapi untuk sekian kalinya,
Izinkan aku menjadi sahabatmu di kala susah,
Izinkan aku menjadi pemerhatimu di kala gembira,
Dan izinkan aku mengirimi doa untuk kesejahteraanmu.
 
Sampai di sini sahaja ayat yang mampu ku coretkan
buat kau, Dayyan,
Semoga kau bahagia dunia dan akhirat.
Selamat berjumpa di jannahNya kelak, Inshaa Allah. '
 
Air mata yang menitis di atas buku Rafiq,
dikesatnya.
Allah..
 
**********
 
Wahai pembaca yang dikasihi Allah ,
Jika kau ingin mencari sahabat,
Carilah dalam kalangan temanmu,
Yang sangat mengambil berat akan dirimu,
Yang sentiasa ada di kala susahmu,
Yang sentiasa menemani mu tatkala sedihmu,
Yang sentiasa tersenyum mendengar berita gembira
tentang dirimu.
 
 Carilah yang sentiasa mendoakanmu,
Carilah yang sentiasa mengingatkanmu akan kebaikan,
Kerana sahabat sebegini akan memandu kau ke jalan
yang diredhaiNya.
 
Wahai hamba-hamba Allah,
Sahabat sejati adalah orang yang sukar kita sedari kehadirannya,
Kerana di kala dirimu senang, 
Dirinya jarang berada di sisimu,
Tapi di kala dirimu susah, 
Dialah orang pertama yang menghulurkan tangannya
Orang yang pertama meminjamkan telinganya
dalam mendengar masalahmu.
 
Itulah sahabat,
Sahabat yang akan membawamu ke syurga dengan izinNya,
Sungguh beruntung jika kau memiliki sahabat seperti ini.
 

 
 

1 comment: