Friday 27 September 2013

Berubahkah aku?

   
       Nama aku Kayu. Ya, Kayu. Meskipun ramai yang menanyakan, kenapa harus 'kayu' yang menjadi pilihanku sebagai nama samaranku sedangkan ianya amat tidak sesuai untukku kerana kayu itu mempunyai keunikannya tersendiri. Biasanya kita dengar keunikan itu sebagai kelebihan. Tetapi dalam kisahku ini, kayu ini mempunyai keunikan iaitu kekurangannya sendiri. Namun, kekurangan yang ia ada, jangan disangka tiada kelebihannya.

       Kayu ini rapuh, mudah patah dan mudah reput. Dan itulah aku. Itulah Iman aku. Iman aku ini rapuh, dan tidak bisa menjadi sekuat dan segah besi. Namun, walaupun ramai yang cuba menjatuhkan aku kerana menganggap aku ini hipokrit dalam penghijrahanku, aku tetap berpegang kepada Imanku ini walaupun ianya hanya sebesar biji sawi yang ada surut serta pasangnya.

     Dulu, jika kau mahu tahu, aku jahil orangnya. Jahil akan erti dunia yang sebenar. Di luar, mereka melihatku seperti insan biasa yang tidak bermasalah malah ada yang mengatakan bahawa hidupku ini happy-go-lucky. Ya, hidup aku memang bahagia tetapi kegembiraanku berlandaskan penderitaan orang lain. Aku tidak pernah mengambil pelajaran terhadap apa yang tertimpa ke atasku malah aku memarahi takdir dan mempersoalkan takdir itu. Aku asyik bertanya, kenapa, kenapa dan terus-terusan bertanya kenapa sedangkan itu semua dugaan buat aku. Mereka melihat aku seperti insan biasa yang tidak terlepas dari masalah, tapi masalahku bukan berkaitan masalah dunia kerana aku sukar untuk mengalami masalah dunia. Masalahku selalu berkait akan Iman. Iman yang pada tika itu, aku tidak mahu kehadirannya. Malah, aku bangga dengan setiap tindakan aku padahal itu semua alat pembinasa untuk aku.
 
       Sampailah suatu ketika, aku rasa hidup aku ini sungguh bermasalah. Aku cari masalah itu. Aku cari sepuas-puasnya namun tidak ku jumpa. Aneh. Kerana tiap malam aku terfikir akan masalah yang tidak ku tahu apa. Masalah yang bukan berkaitan dunia tapi berkaitan rohani. Berkaitan batinku. Aku rasa batin aku terseksa sekali tetapi aku tidak tahu puncanya.
 
       Aku minta pelbagai kata-kata motivasi daripada mereka yang profesional untuk menyelesaikan masalah aku, tapi tiada seorang pun mampu rungkaikan masalah itu malah masalah itu makin lama makin teruk. Aku rasa dunia aku makin kelam sehinggalah aku mengenali seseorang itu. Seseorang yang tidak ku tahu siapa dia, tapi si dia yang membawa perubahan itu kepada aku. Si dia yang memberi inspirasi kepada aku untuk berubah. Si dia yang menjadi orang pertama yang menyuruh aku muhasabah diri. Si dia yang menyuruh aku mencari balik kesalahan yang pernah ku buat. Dan dialah yang meminta aku menyelesaikan masalah itu di tikar sejadah. Dummm! Pada ketika itu, aku rasa langit macam runtuh. Dan ketika itu aku terfikir, berapa kali aku mengadu kepada Allah? Berapa kali? Orang solat, aku solat. Tapi solatku tidak terisi dengan penghayatan kerana fikiran ku asyik terhadap duniawi. Allah...
 
        Ketika aku dalam mendekatkan diri kepada Allah, tiba-tiba ada rasa sebak mengalir. Aku rasa dada aku sempit sangat tetapi beban masalah yang bersarang di kepala tika dahulu terasa semakin ringan. Aku cuba halau rasa sebak itu tetapi tak mampu... dan aku menangis seorang diri. Menangisi diri yang kembali semula mendekatkan diri kepadaNya tetapi.. aku tertanya, apakah pendekatan ini akan terus berlarutan atau akan terhenti  apabila semuanya selesai? Apakah aku benar-benar berubah?

       Persoalan itu terus bermain dalam kepalaku. Setiap kali aku melakukan sesuatu perkara yang lagha, akan ada satu soalan yang menerjah fikiran. " Berubahkah aku ini sedangkan dulu aku sentiasa mengharapkan perubahan?" Ya, inilah soalan tersebut. Setiap perkara yang lagha yang aku lakukan, pasti soalan ini muncul dahulu. Dan soalan ini terhasil daripada Imanku. Ya, itulah suara imanku. Dia cuba menghalang pekerjaan sia-siaku dengan mengirimkan persoalan itu tetapi adakalanya aku tidak pedulikannya. Dan aku terus melakukan perkara yang lagha itu tanpa memikirkan diri ini dalam perubahan ke arah mukmin yang hebat. Dan sekali lagi, berubahkah aku? Huh, berubah taik kucing.

        Dekat twitter, wah, diri inilah yang kencang berkata. Diri inilah yang hebat berkata tapi apabila di luar, senyap macam tikus. Hina. Tiada dakwah. Tiada usaha untuk mencegah kemungkaran. Yang ada hanyalah, suara hati yang membenci kemungkaran tapi dalam masa yang sama, kemungkaran turut dilakukan. Adakah itu perubahan yang aku inginkan setelah bangkit dari katil jahiliyyah? Jawapannya tidak.

       Aku jatuh berkali-kali. Tetapi dalam setiap jatuhku, aku mampu kira dengan jari berapa kali aku bangun. Aku terus jatuh ke tanah tanpa bangun hanya kerana sebuah dugaan kecil. Allah...Aku juga perlukan tarbiyyah. Aku juga perlukan nasihat. Buat masa sekarang, cuba kalian pula yang berikan aku kata-kata semangat daripada meminta aku kata-kata semangat? Aku bukan menolak untuk memberi kata-kata semangat tetapi aku juga sedang futur, dan sudah tentu kata-kata semangat itu bukan datang dari hati. Maafkan aku.. maaf...


No comments:

Post a Comment