Wednesday 20 November 2013

Rasa




Termenung.
Langit malam yang tiada bintang yang sudi menghiasi langit itu dipandang sayu,
sesayu hatinya.
Gambar yang berada dalam genggamannya dipandang selang seli dengan langit malam.
Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, disekanya lembut bersama keluhan berat.

Saiful memandang Qaiser yang sedang termenung di atas pasir pantai itu. Tiada siapa di situ melainkan mereka berdua.

" Sampai bila Qai kau nak duduk dekat tepi pantai, meratap dan terus meratap?" tanya Saiful yang sedang berdiri di belakang Qaiser.

Senyap. Tiada balasan yang ditunggunya.

" Kullu nafsinz dzaaiqotul maut. Setiap yang bernyawa pasti akan merasa mati, surah Al-Imran ayat 185. Nampaknya kau dah lupa ayat ini Qaiser."

Ayat yang dibacakan temannya itu menyentapkan separuh hatinya. Namun buat seketika, dia menggelengkan kepalanya perlahan.

" Kau tak rasa apa yang aku rasa, Saiful. Kau tak rasa.."

" Tak, Qai. Apa yang kau rasai sekarang, semua orang pernah rasa dan pasti akan rasa tidak terkecuali baginda Rasulullah."

Mata yang setia menatap gambar di tangan memandang teman baik yang berada di belakangnya.

" Maksud kau?"

" Kau sedih dan aku juga pernah rasa sedih. Kau rasa peritnya kematian seseorang dan aku juga pernah rasa peritnya kematian seeorang. Orang lain juga. Mereka juga pernah rasa sedih dan pasti akan merasa peritnya akan kematian seseorang."

Qaiser cuba menghadam sebaiknya kata-kata itu.

" Dan sepatutnya, dalam dunia ini tidak sepatutnya wujud ayat 'kau tak rasa apa yang aku rasa' kerana setiap rasa atau perasaan yang wujud di muka bumi ini, pasti akan dirasai oleh semua orang. Pasti, Qaiser. Yang berbezanya hanyalah situasi bagi perasaan itu. Kau sedih kerana kehilangan ibu kau tetapi kau tidak sedar ada juga yang sedih kerana kehilangan insan yang sama tetapi dia masih kuat menghadapi dunia."

" Ini dunia, Qaiser. Tiada apa yang berbeza di muka bumi ini. Kau rasa kita semua berbeza tapi hakikatnya kita sama sahaja. Mereka ada rasa gembira, sakit, pedih, benci, kecewa dan sebagainya, dan kita juga ada rasa itu semua. Cuma rasa itu tidak terletak pada situasi yang sama."

Dia terus menyepi dan terus menyepi. Menghadam kata-kata itu dengan akal yang masih waras.

" Sudahlah. Tidak usah bersedih. Yang hidup pasti akan merasa mati. Mati itu pasti akan dirasai semua. Rasa mati, sedih, kecewa, perit, benci... rasa itu semua adalah rencah hidup kita. Tanpa rasa itu, tawar hidup ini , Qai."

Bahu teman baiknya disentuh lembut sebelum berlalu pergi dari situ.


Tuesday 12 November 2013

Dakwah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Bismillaahirrahmaanirrahiim.

Baru-baru ini, aku telah mengambil keputusan untuk me'nyahaktifkan' twittah aku. Bukan untuk suka-suka atau atas dasar suruhan orang, tetapi itu semua datangnya dari hati. Datangnya dari kemahuan aku yang tiada campur tangan orang lain. 

Untuk beberapa hari ini, aku dalam dilema sama ada hendak me'nyahaktifkan' akaun ask.fm aku atau tidak. Dan apabila difikirkan kembali dan kata-kata dari sebahagian sahabat, mereka pinta dan menasihati aku agar meneruskan dakwah di medan sosial. Dan ya, aku terimanya memandangkan aku ada banyak urusan yang belum selesai dengan sebahagian pengguna ask.fm.

Jika tidak silap, beberapa hari yang lepas aku ada menerima satu soalan. Soalannya berbunyi, pendekatan 'Dakwah Biar Sentap' vs 'Dakwah Biar Mantap' mana satu yang lebih baik dan berkesan? Soalan ini telah diajukan oleh seorang yang tidak dikenali apabila ramai dai'e cyber menggunakan dua kaedah tersebut. 

Sebelum itu, biarlah aku jelaskan makna dakwah itu dengan terlebih dahulu. Dakwah itu bermaksud menyeru atau mengajak. Di sini, aku tidak mahu menghuraikan lebih dalam maksud dakwah tetapi yang jelas ianya lebih kepada mengajak. 

Baiklah, cuba kita ubah term 'Dakwah Biar Sentap' dan 'Dakwah Biar Mantap' itu kepada perkataan yang lain.

Dakwah Biar Sentap= Mengajak/Menyeru Biar Sentap.
Dakwah Biar Mantap= Mengajak/Menyeru Biar Mantap.

Baiklah, apabila dilihat semula ayat yang dipaparkan diatas, aku cuma mengubah perkataan 'Dakwah' kepada perkataan 'Mengajak/Menyeru' dan yang lainnya, masih sama. Apakah 'Dakwah' dan 'Mengajak/Menyeru' itu mempunyai perbezaan? Tiada perbezaan. Yang berbeza hanyalah, dakwah itu perkataan Arab manakala ajak/seru itu perkataan Melayu tetapi maksud sama.


(2.1) Dakwah/mengajak/menyeru Biar Sentap!

Apa yang aku hendak kaitkan dengan tajuk di atas ialah apakah perlu dalam sebuah dakwah atau ajakan itu diselitkan 'sentap'?

Apakah orang akan lebih tertarik dengan dakwah kita apabila diselitkan unsur sentap?
Jawapannya: 80% tidak dan 20% ya.

Inferens jawapan:
Ini kerana manusia ini fitrahnya lebih tertarik dengan sesuatu yang menarik, sesuatu yang sedap mata memandang dan sedap telinga mendengar. Kerana ini memang tabiat manusia. Semua manusia. Apakah kau akan tertarik melihat tempat yang kotor? Sudah pasti tidak. Apakah kau akan tertarik dengan sesuatu yang kasar? Sudah tentu tidak.

Hati manusia ini lain bentuknya. Ada yang lembut dan ada yang keras. Apabila kau berdakwah menggunakan kaedah sentap pada hati yang lembut, pasti akan ada hati yang terhiris kerana hati yang lembut ini sensitif. Ada yang akan menerima dan ada yang tidak kerana ramai orang lebih terarah kepada dakwah yang lembut tetapi bertegas. Dan jika kau gunakan kaedah dakwah ini pada hati yang keras, mungkin akan timbul permusuhan sedangkan matalamat dakwah adalah untuk mengajak mereka menuju kebaikan. Mungkin kesannya lambat jika menggunakan kaedah yang lebih lembut, tapi hidayah itu milik Allah. Kalau sentap macam mana pun, tapi tak berubah, tak berguna. Biar tutur kata kita lebih berhemah daripada sentap. 

Dan lagi satu, risiko dakwah biar sentap ini menjadikan seseorang itu menyimpan rasa benci terhadap kita. Kau berdakwah tapi tanpa kau sedar, kau melukakan hati yang mendengar kata-kata yang sentap itu. Pasti rasa tidak enak kan apabila sedar diri kita melukakan hati orang.

(2.2) Dakwah/menyeru/mengajak Biar Mantap!

Dakwah sebegini aku kurang menggemarinya atau dengan lebih tepat, tidak gemar. Bagi aku, dakwah itu biarlah sederhana namun kualitinya amat memberansangkan. Biarlah ilmu yang disampaikan sedikit asalkan mereka faham dan mengamalkannya. 

Selain itu, jika setakat menyeru orang bersungguh-sungguh untuk melakukan kebaikan tetapi diri sendiri tidak melakukannya, itu namanya HIPOKRIT.

Pung pang sana pung pang sini tetapi MASA untuk mengamalkan semua itu tidak terlaksana, sia-sia sahaja.

Contohilah dakwah Rasulullah. Baginda berdakwah dalam masa yang sama mengamalkannya. Biarlah dakwah itu sederhana tetapi kita mengamalkan dakwah itu sendiri. You preach, you do! 

Jadi jawapan aku, berdakwa biarlah sederhana tetapi berkesan serta diamalkan. Itu lebih baik daripada dua kaedah tersebut.


P/s: Rasulullah berdakwah dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Tiada kata-kata sinis yang keluar dari bibir Rasulullah atau kata-kata sentap yang keluar. Tetapi kenapa kita tidak mengikut perlakuan Rasulullah? Bukankah kelembutan itu sesuatu yang Allah sukai? Tetapi kenapa masih mengikut kedah sentap tersebut? Tepuk dada tanya iman.