Wednesday 20 November 2013

Rasa




Termenung.
Langit malam yang tiada bintang yang sudi menghiasi langit itu dipandang sayu,
sesayu hatinya.
Gambar yang berada dalam genggamannya dipandang selang seli dengan langit malam.
Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, disekanya lembut bersama keluhan berat.

Saiful memandang Qaiser yang sedang termenung di atas pasir pantai itu. Tiada siapa di situ melainkan mereka berdua.

" Sampai bila Qai kau nak duduk dekat tepi pantai, meratap dan terus meratap?" tanya Saiful yang sedang berdiri di belakang Qaiser.

Senyap. Tiada balasan yang ditunggunya.

" Kullu nafsinz dzaaiqotul maut. Setiap yang bernyawa pasti akan merasa mati, surah Al-Imran ayat 185. Nampaknya kau dah lupa ayat ini Qaiser."

Ayat yang dibacakan temannya itu menyentapkan separuh hatinya. Namun buat seketika, dia menggelengkan kepalanya perlahan.

" Kau tak rasa apa yang aku rasa, Saiful. Kau tak rasa.."

" Tak, Qai. Apa yang kau rasai sekarang, semua orang pernah rasa dan pasti akan rasa tidak terkecuali baginda Rasulullah."

Mata yang setia menatap gambar di tangan memandang teman baik yang berada di belakangnya.

" Maksud kau?"

" Kau sedih dan aku juga pernah rasa sedih. Kau rasa peritnya kematian seseorang dan aku juga pernah rasa peritnya kematian seeorang. Orang lain juga. Mereka juga pernah rasa sedih dan pasti akan merasa peritnya akan kematian seseorang."

Qaiser cuba menghadam sebaiknya kata-kata itu.

" Dan sepatutnya, dalam dunia ini tidak sepatutnya wujud ayat 'kau tak rasa apa yang aku rasa' kerana setiap rasa atau perasaan yang wujud di muka bumi ini, pasti akan dirasai oleh semua orang. Pasti, Qaiser. Yang berbezanya hanyalah situasi bagi perasaan itu. Kau sedih kerana kehilangan ibu kau tetapi kau tidak sedar ada juga yang sedih kerana kehilangan insan yang sama tetapi dia masih kuat menghadapi dunia."

" Ini dunia, Qaiser. Tiada apa yang berbeza di muka bumi ini. Kau rasa kita semua berbeza tapi hakikatnya kita sama sahaja. Mereka ada rasa gembira, sakit, pedih, benci, kecewa dan sebagainya, dan kita juga ada rasa itu semua. Cuma rasa itu tidak terletak pada situasi yang sama."

Dia terus menyepi dan terus menyepi. Menghadam kata-kata itu dengan akal yang masih waras.

" Sudahlah. Tidak usah bersedih. Yang hidup pasti akan merasa mati. Mati itu pasti akan dirasai semua. Rasa mati, sedih, kecewa, perit, benci... rasa itu semua adalah rencah hidup kita. Tanpa rasa itu, tawar hidup ini , Qai."

Bahu teman baiknya disentuh lembut sebelum berlalu pergi dari situ.


No comments:

Post a Comment