Friday 27 December 2013

Musafir




Termenung. Perkara yang sudah lama tidak aku lakukan. Jika dahulu, termenung itu adalah salah satu kegemaranku. Membayangkan yang indah tentang masa depan, merangka dan cuba mencapainya. Namun, rangkaan itu kembali bersepai apabila akal membisikkan bahawa bahaya jika terlalu berkhayal.

Tarikh: 27/12/2013
Waktu: Antara 1-2 pagi

Buat kali ke berapa yang aku sudah lupa, setelah menjawab pelbagai soalan di Ask.fm, aku bersandar di kepala katil. Memikirkan tentang diri. Memikirkan tentang tahun 2014 yang bakal aku hadapi. Tahun yang agak mencabar namun tidak secabar alam selepas kematian.

Dengan telinga yang bersumbat earphone, aku melayan diri dengan mendengar lagu " Bintang Syurga" oleh Unic dan Raqib Majid. Lagu itu membawa lamunan aku lebih jauh.

Jauh... jauh membayangkan diri sedang mengejar syurga Allah, membayangkan diri sedang bermusafir demi mencari sebuah ilmu, membayangkan diri berjalan seorang diri, melangkah dan terus melangkah...

Aku tersenyum diri. Dan air mataku mengalir buat kesekian kalinya kerana lagu itu... dan kerana sebuah angan yang entah bisa atau tidak untuk ku genggam.

Bermusafir itu impian aku. Berjalan merentasi segala perbukitan itu adalah impian aku. Dan nabi juga menyuruh umatnya untuk bermusafir. Sesungguhnya, berjalan itu luas pandangannya.

Tetapi, aku sedar bahawa musafir bukan setakat mengembara. Tetapi kita semua adalah musafir. Musafir yang mengembara di atas medan masa. 

Apabila memikirkan tentang bermusafir, secara tak langsung, bayangan wajah arwah Ahmad Ammar melintasi pemikiran aku. Lelaki yang tidak dikenali tetapi diketahui kerana kehebatannya di muka bumi ini. Allah.. indah sungguh hidup ini andai diabadikan sebenar-benarnya kerana Allah. Indah sungguh maut yang menjelma apabila segala persiapan telah tersedia. Indah.. hanya perlu melangkah ke syurga sahaja.

Dan kemudian, aku tidak sedar bila masanya aku terlelap. Sedar-sedar sahaja, sudah waktu subuh. Apa yang aku khayalkan bagaikan mimpi sahaja. Dan tidur aku, aku terasa singkat sekali. Barangkali kerana tidur lewat maka penghayatan dalam tidur pun terasa singkat. 

-Kayu Rapuh




Tuesday 3 December 2013

Ilmu




" Apa nak jadi dengan kau ni?
Balik malam je, mesti jadi macam ni.
Muka lebam sana sini,
baju pun kotor berdebu. Kau sedar tak apa yang kau buat ni?
Kau tak kesian dekat mak ni?" Rintih seorang ibu.
Si anak hanya diam tanpa membalas. 
Malas mahu bertekak dengan si ibu yang asyik berleter
sahaja kerjanya.

Si jiran, Hafiz, yang mendengar pertekakan itu
hanya mampu beristighfar. Sesabar seorang ibu
pasti ada hadnya. Dia kenal anak jiran sebelah rumah mereka itu.
Setiap kali balik sahaja dari surau, kelibat anak muda itu pasti
dilihat bersama-sama dengan sekumpulan remaja.

" Dah lah mak, asyik membebel je. Aku balik je,
membebel. Balik je, membebel.
Kalau aku tak balik nanti, macam kucing hilang anak."

Hafiz memasang telinga sahaja dari rumahnya. Televisyen
yang terpasang sudah tidak menarik minatnya apabila mendengar anak beranak itu
bertikam lidah.


" Hafiz..." Panggil abang sulungnya, Dayyan.


" Ya?"


" Jiran sebelah gaduh lagi ke?" tanya abangnya sambil bersandar di dinding.


" Macam biasa, bang. Dah anak macam tu, siapa yang tak hangin."


" Amboi, ayat." Perli Dayyan.

" Hehh, bukan apa, hati dengan telinga ni sakit dengar Qayyum tu asyik 
melawan cakap ibu dia. Ibu dia cakap sedikit, dia pergi hentam balik. Haish, 
apalah silap didikan mak bapak dia."

" Wahhh, ayat. Ni memang kes sakit hati betul ni."

" Mestilah. Dulu si Qayyum tu tak macam tu."

" Iman dia, Hafiz. Iman dia tengah surut." Kata Dayyan.

" Kerana kurang didikan agama," sambung Hafiz.

" Tidak. Didikan agama dia cukup, tapi ilmu dan didikan yang ada tidak dimanfaatkan."

" Macam mana boleh jadi macam tu?"

" Dia orang yang berilmu. Dia orang yang beragama. Tapi dia lupa dengan
ilmu yang dia ada. Apabila ilmu yang ada dipandang sepi, dijadikan isi bagi minda dan bukan bagi hati dan iman, maka inilah kesannya."

Hafiz terdiam. Benar kata-kata abang dia. Qayyum hidup penuh dengan didikan agama.
Namun didikan yang ada tidak di manfaatkan. Masakan hendak disalahkan didikan ibu bapa?
Dia menginsafi dirinya sendiri. 

"Kadangkala apa yang terjadi terhadap diri remaja itu,
Bukan salah didikan ibu bapanya satu peratus,
Tetapi salah remaja itu sendiri yang membiarkan ilmu berkubur di kotak ingatan,
bukan di hati mahupun iman."

"Ingatlah, Iman itu tidak mampu diwarisi,
Jadi, kenapa harus mengungkit didikan ibu dan ayah seseorang remaja itu?"

Hafiz memandang abangnya yang kini berada di sebelahnya tanpa membalas.
Dan dia memejamkan mata dengan telinga yang masih di sapa jeritan si ibu dan anak.


"Percayalah, tiada seorang manusia bisa menembusi syurga kerana ilmu, tetapi seorang manusia itu pasti menembusi syurga jika dia MEMANFAATKAN ilmu."