Friday 4 October 2013

Dia atau dia?




Duduk termenung. 
Memerhati ciptaan Tuhan dalam sendu. Sendu kerana sebuah cinta. Huh. Cinta antara manusia yang tidak kekal lama di muka bumi ini.
Tunduk. Pasir pantai yang memutih dipandang dengan mata yang merah. Kerana sebuah cinta manusia, air mata mudah mengalir. Qowiy kah dia? Mukmeen kah dia? Atau hanya sekadar Muslim?

" Hawwas..."

Namanya dipanggil lalu dia memandang seketika sebelum memalingkan mukanya ke arah lain tatkala bertembung pandang dengan sahabatnya. Malu memperlihatkan matanya yang merah.

" Hamani sudah bertunang," kata Hawwas perlahan. Tangannya menggenggam kuat pasir yang berada dalam genggaman.

" Jadi?" 

" Hatiku pedih, sepedih-pedihnya." Hawwas menumbuk perlahan dadanya. Dada yang di mana terletaknya dua buah cinta. Cinta hakiki dan cinta fitrah namun adakah cinta hakikinya masih berada di tangga pertama? Allahu.

" Hawwas, Hawwas, Hawwas. Namamu cukup indah. Yang bersemangat. Itu maksud namamu bukan? Tapi dimanakah semangatmu wahai Hawwas? Sudah dibuang ke lautkah semangat itu?"

Terpukul namun membisu. Dia sudah tidak mampu bersuara. Semangatnya bagai direnggut pergi tatkala perkhabaran itu menusuk ke telinganya.

" Hawwas, kau kenal Hamani?" tanya Saif.

" Sudah tentu aku kenal. Kenapa?" Bibir mengoyak senyuman kecil tatkala sebaris nama disebut.

" Dia sudah bertunang dengan Dzul Fahmi."

Dummmmm! Rasa gelap dunianya mendengar perkhabaran itu.

" Mustahil," bisiknya perlahan.

" Tiada yang mustahil jika itu jodoh mereka. Allah telah menentukan yang terbaik buat mereka." Saif berlalu pergi meninggalkan Hawwas. Dia tahu Hawwas mencintai Hamani. Melalui sinaran mata Hawwas tatkala melihat Hamani, dia tahu ada satu perasaan yang terpendam jauh. Dan pandangan mata Hawwas, amat merisaukan dirinya.
 
" Hawwas..."

Dia tersentak. Segala lamunan berkecai. 

" Kau semakin jauh, Hawwas. Kau telah jauh dalam lautan cinta manusia. Kau lemaskan diri kau dalam hati seorang Hawa. Itu cinta murahan."

" Kenapa kau cakap cintaku padanya adalah cinta murahan? Cinta aku padanya tulus. Aku mencintainya kerana agamanya dan akhlaknya." Raut wajahnya tegang. Tidak bisa menerima kata-kata sahabatnya itu.

" Benarkah kau mencintainya? Benarkah kau mampu menjadi pemimpinnya jika kelak dia menjadi zaujah mu? Jika benar kau mencintainya, tuntunlah hati kau dahulu ke sisi Allah. Kembalikan hak Allah yang ada pada dirimu. Kembalikan cintaNya ke dalam hati mu."

" Aku mencintainya, Nuwair. Terlalu."

" Sudahlah, Hawwas. Cinta kau padanya tidak bermakna andai kau menyisihkan cinta yang pertama."

Diam. Tersentak mendengar kata-kata sahabatnya. Rasa hatinya tiba-tiba menjadi kosong. Kosong bukan kerana kehilangan cinta manusia tetapi ada sebuah cinta yang amat besar nilainya terpinggir jauh.

" Cinta kau padanya tidak bermakna andai kau menyisihkan cinta yang pertama."

Dia terlalu taksub pada cinta manusia. Dia terlalu khayal dengan angan-angannya. Dan tanpa sedar, cinta hakikinya semakin jauh dari hatinya. Hatinya kosong.

Air matanya menitis. Kini, menitis bukan kerana sebuah cinta manusia. Tetapi sebuah cinta antara hamba dan Tuhannya.

' Allah, di paras manakah imanku terhadapMu, Ya Allah? Aku mengabaikan setiap suruhanmu, aku membiarkan angan-anganku terpasang jauh terhadap manusia namun angan-anganku tidak terpasang pada diriMu Ya Allah.' Hatinya berbisik sendiri.

Bahunya ditepuk perlahan. Wajah sahabatnya yang bernama Nuwair dipandang dengan mata yang berkaca-kaca.

" Aku bersyukur Allah mempertemukan Hamani dengan insan lain. Kerana hal itu, aku mendapat kembali Hawwas yang dulu. Hawwas, lepaskan cintamu terhadapnya pergi. Biarkan cinta itu pergi jika itu sahaja caranya untuk kau kembali pada Dia Yang Esa."

" Percaya pada takdirNya, Hawwas. Hadapi takdir mendatang dengan tenang. Jika benar dia milikmu, Hawwas, dia pasti akan menjadi milikmu. Jangan pernah meragukan takdirNya Hawwas. Jangan pernah menyalahkan takdirNya Hawwas. Allah mempunyai rancangan yang lebih hebat berbanding rancangan kita. Ingat Hawwas, sebelum kau mencintai makhlukNya, kau cintailah Dia lebih dari kau mencintai diri kau dan segala yang ada di muka bumi ini. Kerana sesungguhnya, manusia sering jatuh dalam kekecewaan terhadap cinta apabila cinta pertamanya tidak kukuh."

Sahabatnya berlalu pergi. Dan dia duduk termenung memikirkan soal cinta. Jika tadi, fikirannya hanya untuk cinta manusia, kini fikirannya jauh melayan akan cinta Allah. Cinta hakiki. Cinta yang sepatutnya menjadi hak Allah sebelum dipinjamkan kepada insan lain.


"Sedalam mana cinta kau terhadap dia, sehebat mana cinta kau terhadap dia, tapi takdir kau bukan dengannya,
tetap kekecewaan yang kau dapat.
Jangan mencintai terlalu dalam, jangan mencintai terlalu
berharap, kerana cinta yang hebat, cinta yang dalam,
cinta yang penuh harapan, hanyalah untuk Allah Yang Esa.
Sesungguhnya, Allah pasti membalas cintamu dengan lebih 
hebat. Keep calm and love Allah." - Dia  


No comments:

Post a Comment